AMANAH Johor gempur punca pencemaran sungai

AMANAH Johor gempur punca pencemaran sungai

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor telah mengempur tempat yang telah dikenal pasti sebagai punca pencemaran air di negeri Johor sehingga terpaksa dicatu selama tiga hari dari 28-30 Oktober 2017.

Catuan itu dilakukan secara berperingkat di setiap daerah bermula dari daerah selatan Johor yang membabitkan kawasan sekitar Johor Bahru dan juga Gelang Patah sebelum ia berakhir di daerah Kluang dan Simpang Renggam.

Menurut Pengerusi AMANAH Negeri Johor, Aminolhuda Hassan yang menjadi ketua kumpulan dalam aktiviti mengempur punca pencemaran sungai itu menyatakan, tujuan aktiviti ini dilakukan adalah untuk melihat sendiri keadaan punca sungai Johor yang membabitkan Sungai Sayong di Mukim Sedenak daerah Kulai.

Beliau menyatakan lanjut, terdapat operasi pusat ternakan besar yang berada di kawasan hulu sungai Sayong berkenaan telah dikenal pasti oleh beliau sebagai punca utama pencemaran di hulu sungai berkenaan.

“Tujuan aktiviti ini adalah untuk mendapatkan maklumat tepat berkenaan dnegan aduan pencatuan air yang berpunca dari pencemaran sungai yang teruk sehingga beberapa Loji Rawatan Air (LRA) di sekitar Johor terpaksa dihentikan operasinya.

“Terdapat pusat ternakan ayam yang banyak di kawasan punca air sungai ini dan kami juga telah mengesan wujud kesan saluran sisa kumbahan yang dialirkan ke parit-parit berdekatan pusat ternakan tersebut yang mana aliran parit itu menghala ke hulu sungai.

“Selain itu benteng kawasan kumbahan ternakan yang pecah membuatkan sisa kumbahan mengalir dalam kuantiti yang banyak ke sungai serta kawasan kebun sawit sekitar pusat ternakan penuh dengan kumbahan ternakan dan proses kumbahan ini tidak mendapat kelulusan kerajaan.

“Kami juga mengenal pasti terdapat tapak perlombongan pasir sungai yang masih aktif di kawasan tersebut serta terdapat kesan pencemaran yang teruk sehingga air yang diproses untuk pencucian pasir berlumpur dialirkan ke semula ke dalam sungai,” jelas beliau.

Sehubungan dengan itu, Aminolhuda turut merasa kesal dengan tindakan Kerajaan Negeri Johor sebelum ini yang telah berulang kali menyatakan untuk menyelesaikan permasalahan tersebut namun tiada sebarang tindakan secara serius yang diambil.

Aminolhuda yang juga merupakan Adun Parit Yaani menyatakan perkara pencemaran ini akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri(Dun) Johor yang akan bersidang November ini sebagai usaha beliau untuk menyelesaikan masalah rakyat negeri Johor yang berbangkit ini.

“Tidak dilihat Kerajaan Negeri Johor sebelum ini serius dalam menangani soal pencemaran ini sehingga ia memberi kesan yang teruk dan beberapa LRA yang terbabit terpaksa dihentikan operasinya serentak.

“Telah berulang kali pihak kami memberikan laporan berkenaan dengan permasalahan sungai di Johor namun kerajaan negeri seperti tidak mengendahkan. Belanjawan 2018 yang dibentangkan pun tidak mengadakan peruntukkan kepada pemulihan alam sekitar seperti didakwa ahli kami sebelum ini.

“Saya akan membentangkan kepada pihak kerajaan negeri di dalam sidang Dun akan datang bagi memberi pandangan untuk mengadakan peruntukkan kepada pemulihan sungai di negeri Johor dalam Belanjawan 2018 Negeri Johor,” ujarnya.

Sebelum ini aktivis alam sekitar, Abrary Ramly telah menyatakan pandangan untuk diadakan peruntukkan kepada pemulihan alam sekitar dalam Belanjawan 2018 Negeri Johor serta beliau turut mendesak pihak Kerajaan Negeri Johor mengambil tindakan keras ke atas syarikat-syarikat yang melakukan pencemaran.

Suhaizan Kaiat menunjukkan tempat sisa kumbahan ternakan disalurkan

CATEGORIES
TAGS