Malaysia Dateline

AMANAH Johor gesa kerajaan negeri umum peruntukkan yang dikeluarkan

AMANAH Johor menggesa kerajaan negeri mengumumkan jumlah peruntukan yang telah dikeluarkan dan disalurkan kepada golongan yang memerlukan termasuk di peringkat daerah atau kawasan.

Ini kerana, menurut Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Suhaizan Kaiat, terdapat rungutan daripada kawasan berkenaan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta agar kerajaan menyemak semula bantuan yang telah disalurkan agar perkara seperti keciciran nama dalam bantuan tersebut tidak berlaku.

“Kita mohon agar kerajaan mengumumkan berapakah peruntukkan yang telah sampai ke kawasan-kawasan atau daerah yang disalurkan oleh mereka serta perbelanjaan berbentuk apa yang telah dibelanjakan oleh kerajaan setakat ini.

“Selain itu, kerajaan perlu segera mengambil tindakan menguruskan nama-nama penerima bantuan supaya bantuan kepada mereka segera diberikan.

“Kita akui perkara ini sukar untuk dibuat oleh kerajaan namun ketelusan dari pihak kerajaan untuk mengumumkan berapakah peruntukkan yang telah sampai ke daerah-daerah atau kawasan di seluruh negeri Johor perlu untuk menjadi semakan pada bantuan tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada masa yang sama, beliau berkata terdapat aduan yang menyatakan golongan yang terkesan tidak mendapat bantuan dari pihak kerajaan.

Katanya, kerajaan Johor juga tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak dalam mengagihkan bantuan dan kerajaan perlu memperbetulkan keadaan.

“Bukan masanya nak cari silap sesiapa, apa yang penting sekarang ini adalah servis kepada rakyat perlu dipertingkatkan agar semua pihak yang terkesan mendapat bantuan dari kerajaan.

“Selain itu pentingnya kerajaan mengumumkan peruntukkan ini adalah bertujuan untuk kita mendapat maklum berkenaan dengan bantuan tersebut agar tidak diselewengkan oleh pihak tertentu yang tidak bertenggungjawab.

“Kita berharap kerajaan lebih proaktif dalam menyampaikan bantuan yang sudah memasuki hari ke-22 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini,” katanya lagi.