Amanah Johor gesa pencarian KD Perdana ditingkatkan

Amanah Johor gesa pencarian KD Perdana ditingkatkan

Isu kehilangan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kapal Diraja (KD) Perdana di perairan Sedili Johor, membawa kerisauan kepada ahli keluarga anggota serta seluruh rakyat negeri Johor.

Pengerusi Amanah Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, Amanah berdoa agar semua pihak terutamanya anggota keselamatan yang berada di dalam kapal tersebut diberikan perlindungan dari Allah.

Menurut beliau, tindakan yang dilakukan oleh anggota keselamatan itu amat berani serta mulia kerana mereka sanggup berkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara dari dicerobohi oleh pihak asing.

“Saya mewakili pihak Parti Amanah Negara berdoa agar diberikan keselamatan kepada seluruh anggota keselamatan yang berada di dalam kapal KD Perdana.

“Saya turut berbangga dengan tindakan anggota keselamatan tersebut yang sanggup berkorban serta melakukan tindakan berani dengan mempertahankan kedaulatan negara dari pencerobohan pihak asing khususnya di kawasan perairan negara,” katanya kepada Malaysiadateline.

Sebuah bot milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kapal Diraja (KD) Perdana telah terputus hubungan dengan bot kapal yang membawa Tim Menggeledah ketika mengusir bot nelayan asing di perairan Sedili, Sabtu lepas.

TLDM dalam kenyataan hari ini berkata bot berkenaan diketuai seorang pegawai dan lapan anggota Laskar Kanan ke bawah yang melaksanakan rutin rondaan maritim di kawasan perairan negara.

Mengulas lanjut, Aminolhuda juga mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan bagi mengelakkan perkara ini berulang pada masa akan datang.

Beliau berkata, tidak sepatutnya kelemahan yang berlaku ini menyebabkan anggota keselamatan yang menjalankan tugas ini ditimpa padah dan musibah kerana kegagalan pihak kerajaan dalam menangani isu penyediaan kelengakapan.

Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa kerja-kerja menjaga sempadan perairan, udara dan darat negara perlu dititik beratkan dan ia tidak harus dipandang ringan atau mudah agar negara tidak terdedah dengan pencerobohan pihak asing.

“Saya mencadangkan beberapa perkara agar isu seperti ini tidak akan berulang, yang pertama kapal perlu dilengkapi dengan sistem pertahanan yang berkesan, kedua, segala kelengkapan radar perlu dipertingkatkan, ketiga pastikan wujudnya bot pengiring sebagai suati langkah waspada.

“Jangan disebabkan kelemahan yang dilakukan oleh pihak kerajaan ini, ia akan membawa padah kepada anggota keselamatan dan bagi pendapat soal sempadan negara ini, kerajaan perlu titik beratkan dan jangan memandang rendah atau kecil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga merakam ucapan terima kasih kepada pihak nelayan di perairan Sedili yang sanggup bersama-sama terbabit dalam usaha mencari kapal KD Perdana yang hilang di perairan berkenaan.

COMMENTS

Wordpress (0)