Malaysia Dateline

Amanah Johor nyatakan solidariti terhadap Shazni

Parti Amanah Negeri Johor menyatakan solidariti kepada Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional Shazni Munir Mohd Ithin yang direman empat hari bagi siasatan kes di bawah Seksyen 341/143 Kanun Keseksaan.

Shazni ditahan polis Jumaat lalu berhubung protes termasuk merantai dan mengunci pagar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya pada 23 Mei lalu.

Beliau direman bermula semalam sehingga 13 Jun ini bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atasnya. 

Dzulifly Ahmad Amanah Johor

Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, penahanan Shazni perlu dijadikan suatu momentum rakyat untuk membantah tindakan SPR cuba memanipulasi hak pengundi.

Dzulkefly juga berkata, sebelum ini bantahan terhadap SPR yang enggan mengedarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) kepada parti-parti politik telah pun dilakukan di seluruh negara melalui gerakan dari parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Shazni adalah suatu simbolik bahawa kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak memang mempergunakan seluruh sektor dalam menggerakkan agenda untuk Umno memenangi pilihan raya yang akan datang.

“Sebelum ini pun pihak Amanah telah membuat bantahan terhadap SPR dan laporan polis pun telah dibuat tetapi pihak berkuasa tidak memandang akan perkara itu malah mereka telah menghukum Shazni yang membuat bantahan serta simbolik mengunci pagar pejabat SPR di Putrajaya,” ujar Dzulkefly ketika ditemui Malaysia Dateline.

Sehubungan itu Dzulkefly berkata, pihak Amanah Johor juga mengalu-alukan sokongan daripada semua pihak termasuk pengundi untuk bersama menyokong perjuangan Shazni yang disifatkan sebagai mempertahankan hak rakyat Malaysia sebagai pengundi.

Beliau berkata lagi, Amanah Johor juga akan memberikan sebarang sokongan dan bantuan kepada Shazni dalam usaha beliau untuk menjawab segala tuduhan ke atas diri beliau oleh pihak berkuasa mahu pun pihak SPR.

“Saya mengalu-alukan sokongan dari pelbagai pihak kerana apa yang dilakukan oleh Shazni Munir ini adalah suatu perkara yang mempertahankan hak rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi di negara ini.

“Parti Amanah Negeri Johor akan menyalurkan sebarang bantuan untuk Shazni berhadapan dengan tuduhan yang akan dikenakan kepada beliau baik dari pihak berkuasa polis atau pihak SPR nanti,” katanya.