AMANAH Johor sambut baik ‘khemah besar’ hadapi PRU15

Oleh NASUHA RAHMAN

Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, hari ini menyambut baik cadangan bagi menwujudkan ‘khemah besar’ yang menggabungkan parti-parti pembangkang dalam berhadapan dengan PRU akan datang.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusinya, Aminolhuda Hassan dalam satu kenyataan media yang memaklumkan bahawa pihaknya bersedia dalam menerima cadangan tersebut.

“AMANAH Johor, menyambut baik cadangan bagi menyatukan seluruh pembangkang atau khemah besar bagi berhadapan dengan PRU 15 yang bakal berlangsung,” tulisnya.

Beliau dalam kenyataan media tersebut memaklumkan bahawa pihaknya sedar berkenaan dengan perpecahan yang akan mendatangkan kerugian kepada semua pihak kecuali Umno BN.

AMANAH Johor sambut baik ‘khemah besar’ hadapi PRU15
Pembangkang

“AMANAH Johor sedar dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor adalah berpunca dari pecahan undi dari kumpulan pembangkang dan kami sedar peratusan sokongan Umno BN hanya berada dalam sekitar 43 peratus sahaja sokongan.

“AMANAH Johor juga sedar pretasi keluar undi yang rendah juga adalah akibat dari ketidak yakinan dan kekeliruan dari rakyat berkenaan dengan pecahan parti pembangkang yang ketara sewaktu PRN Johor yang baru sahaja selesai.

“Justeru dari itu, Parti AMANAH Johor menyambut hasrat serta memulakan gerak kerja untuk bersama dalam mencari titik temu bagi merealisasikan harapan yaitu khemah besar dengan penyatuan pihak pembangkang,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan parti itu di Johor berjanji akan mendengar serta memperjuangkan suara rakyat di negeri ini.

“Parti AMANAH juga bersedia dalam mendengar serta membawa suara rakyat teramai di negeri ini bagi menjadi pengimbang yang baik kepada kerajaan yang baharu sahaja dipilih dalam PRN Johor baru-baru ini,” tulisnya lagi.