Malaysia Dateline

AMANAH Johor santuni ‘frontline’

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor semalam menggerakkan usaha bagi menyantuni golongan ‘frontline’ di kawasan Johor Bahru.

Dalam satu kenyataan media Pengerusi Amanah Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, golongan tersebut adalah mereka yang memerlukan perhatian kerana mereka adalah individu yang berisiko terdedah dengan Covid-19 ini.

Katanya, langkah yang dilakukan oleh parti Amanah Negeri Johor ini adalah sebagai sentuhan prihatin terhadap usaha mereka yang berada di barisan hadapan bagi memastikan rakyat sentiasa dalam keadaan selamat.

“Kita menghargai pergorbanan mereka yang selama ini menjadi benteng hadapan dalam usaha menjaga keselamatan serta menjadi tonggak awal dalam menjalankan tugas mereka.

“Sehubungan dengan itu golongan seperti penguatkuasa polis perlu diberikan sumbangan seperti peralatan keselamatan untuk mereka gunakan dalam berhadapan dengan orang ramai.

“Kita pun maklum sebelum ini terdapat anggota polis yang terkena virus Covid 19 di beberapa kawasan, justeru langkah-langkah seperti memberikan mereka kelengkapan keselamatan Covid 19 ini perlu sebagai membantu usaha mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berbentuk ‘face shield’ di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara kepada Ketua Polis Johor Bahru Utara, ACP Mohd Taib Ahmad di Skudai semalam.

Tambahnya yang juga merupakan Adun Parit Yaani berkata, sumbangan ini bagi mengenang pengorbanan pihak polis bersempena Hari Polis ke 213 yang disambut pada 25 Mac 2020 yang lalu.

“Kita kena iktiraf mereka yang bertungkus lumus dalam menjayakan keamanan di negara ini dan tidak terlepas kita sebagai orang awam perlu menyantuni golongan ini untuk memberikan yang terbaik kepada mereka.

“Selain itu, bersempena dengan yang ke 213, Parti Amanah Johor juga menggerakkan pengiktirafan kepada sumbangan terhadap anggota-anggota yang sedang berjuang di negara ini,” katanya lagi.