AMANAH Johor sedia bantuan guaman, Mazlan di bawa ke mahkamah Jalan Duta

AMANAH Johor sedia bantuan guaman, Mazlan di bawa ke mahkamah Jalan Duta

AMANAH Johor menyediakan bantuan guaman untuk Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman yang ditahan polis awal pagi tadi dan kesal dengan cara tangkapan dibuat.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata tindakan polis menahan Mazlan pada awal pagi di rumahnya amat dikesali kerana beliau bukanlah seorang penjenayah tegar sehingga perlu ditahan sedemikian rupa.

“Ia telah mendatangkan kesan psikologi terhadap keluarga dan jiran tetangga Mazlan yang melihat beliau ditahan dengan cara begitu.

“Kami akan menyediakan peguam bagi membantu Mazlan dalam kes yang dikaitkan dengan beliau ini,” ujar Aminolhuda.

Mazlan ditahan polis pada jam 1:36 pagi tadi dipercayai ada kaitan dengan laporan polis yang dibuat peguam isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Isnin lalu.

Ianya ekoran ucapan Mazlan yang dimuat naik di YouTube yang didakwa mencemar reputasi Rosmah.

Aminolhuda turut melahirkan rasa simpati di atas apa yang berlaku terhadap Mazlan dan pihaknya akan memberi perhatian terhadap kebajikan keluarga bekas pemimpin AMANAH itu.

Mazlan terpaksa melepaskan semua jawatan politik yang disandangnya ekoran perintah muflis dikeluarkan mahkamah apabila gagal membayar gantirugi saman fitnah Felda kerana menulis buku ‘Felda: Dulu Tolong Sekarang Along!’.

Dalam pada itu, ahli jawatankuasa Pemuda AMANAH Johor, Abrary Ramly berkata Mazlan hadir dalam program sumbangan Rela Bukit Ramon dan itu adalah kali terakhir beliau bersama Mazlan sebelum ditahan.

“Menjelang pilihan raya umum (PRU) tidak sepatutnya Mazlan ditahan kerana jelas penahan beliau bermotifkan politik,” kata Abrary.

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan dilapor telah dibawa ke Mahkamah Jalan Duta untuk polis mendapatkan perintah tahanan reman dan dijangka akan ditahan di Balai Polis Jinjang.

Dalam ceramahnya yang ditularkan di YouTube, Mazlan mendakwa Rosmah turut terlibat dalam projek ternakan ikan sturgeon yang gagal dilaksanakan Felda Global Ventures (FGV).

6.5
OVERALL SCORE
: 3.0
1 user vote x 10.0