Malaysia Dateline

AMANAH Johor yakin kerusi Tanjung Piai kekal milik PH

Pemuda AMANAH Johor merasakan PH mampu mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di sebalik kritikan pelbagai pihak terutama pembangkang dalam soal Melayu-Islam.

Exco pemudanya, Najib Daud berkata, sentimen kerjasama parti pembangkang Umno-Pas sama sekali tidak mempengaruhi faktor sokongan pengundi oleh kerana masyarakat lebih menilai kelayakan calon berbanding parti.

Malah katanya, sehingga hari ini penduduk menunjukkan ‘mood’ yang mahukan anak jati tempatan untuk mengisi kekosongan kerusi yang ditinggalkan bekas Ahli Parlimen Kawasan itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

“Kalau tanya pendapat saya, PH boleh menang lagi di Tanjung Piai. Faktor utamanya kerana di sini adalah kawasan tradisi Melayu yang majoritinya menjadi petani dan nelayan.

“Sebenarnya BN di Tanjung Piai ni sedang bertarung sesama sendiri. MCA melalui calon yang lama memang dah ‘warning’ bahawa ini kerusi MCA. Umno jangan kacau.

“Tapi Umno pula kata kalau nak menang, mesti letak calon Melayu dari Umno. Jadi pergeseran tu memang nampak jelaslah. Dekat bawah ni memang nampak mereka saling tuding menuding,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Justeru beliau berkata, PH perlu memilih calon tempatan yang mesra rakyat dan boleh menjaga kebajikan majoriti penduduk Melayu sekiranya ingin meraih sokongan pengundi.

Jelasnya, trend masyarakat kawasan itu yang tidak cenderung memilih calon berdasarkan parti menyebabkan calon yang dipilih kerajaan kelak perlulah seorang yang bekerja keras mewakili kekuatan masyarakat Melayu.

“Tanjung Piai ni kita kena ingat bahawa dia tak pernah dimenangi oleh (parti) selain BN. Ia memang kubu BN dari zaman dulu dan Dr Farid adalah ahli Parlimen Melayu pertama di Tanjung Piai ni.

“Jadi mood kat sini, penduduk memang mahukan kekuatan yang boleh mewakili mereka. Calon kena lebih mesra dengan rakyat di sini sebab mereka bukan jenis menyokong PH. Mereka adalah orang yang menyokong mengikut calon dan juga siapa yang mereka lihat nak sokong.

“Pas juga sebenarnya bukanlah kuat seperti di Pantai Timur. Ini kerana, sewaktu AMANAH ditubuhkan 2015 dulu, 85 peratus Ahli Jawatankuasa dan ahlinya di Tanjung Piai meninggalkan Pas dan menyertai AMANAH.

“Jadi penyatuan Umno-Pas di Tanjung Piai ni agak tidak signifikan sebab faktor Pas itu tidak kuat tapi Umno agak kuat. Jadi seolah-olah kita cuma lawan Umno sahajalah,” katanya.