Malaysia Dateline

Mohamad Nizar Jamaluddin

AMANAH junjung kasih apa jua keputusan Sultan Perak

AMANAH Perak yakin dengan kebijakan dan perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dapat menyelesaikan kemelut politik yang kembali melanda negeri ini demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, AMANAH serta rakan-rakan dalam Pakatan Harapan Perak akan menjunjung kasih apa jua keputusan yang diperkenan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak.

“Demi kesejahteraan rakyat dalam suasana pandemik Covid-19 ini dan diharapkan kerajaan yang baru dibentuk nanti dapat membantu meringankan penderitaan rakyat Perak keseluruhan yang terkesan seperti pengangguran, masalah ekonomi, kesihatan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan.

Nizar juga akan merujuk kepada Presiden Parti AMANAH Negara dan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Nasional berkaitan isu ini dan keutamaan kami (Pakatan Harapan) adalah kesejahteraan rakyat yang terkesan dalam suasana pandemik ini.

Beliau yang juga Adun Sungai Rapat berkata tiada satu pun parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Justeru katanya, untuk membentuk kerajaan negeri, satu gabungan diperlukan agar kerajaan yang terbentuk nanti mempunyai kedudukan yang kukuh dan stabil untuk menerajui negeri Perak.

Setakat ini beliau yakin hanya gabungan Pakatan Harapan yang dilihat seiringan yang mana kami mempunyai 24 ADUN tetapi tidak mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan yang mana memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN

“Saya tidak pasti kedudukan gabungan PN/MN di Perak kerana UMNO/BN jelas menolak PPBM & PAS manakala PPBM & PAS juga tidak menyokong UMNO /BN dalam pengundian belah bahagi semalam,” ujarnya.

Umum sedia maklum, semalam telah berlakunya sejarah dalam negeri Perak yang mana ADUN Chenderiang, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu telah menghadapi usul percaya di Dewan Negeri yang mana beliau tidak mendapat majoriti dalam undian belah bahagi.

Dalam undian daripada 59 ADUN, sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu, sebaliknya hanya 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.