Amanah: Kata-kata nista tak akan bawa politik ke mana-mana

Amanah: Kata-kata nista tak akan bawa politik ke mana-mana

Tanpa menggunakan kata-kata kesat dan caci maki, setiap orang masih boleh memberikan kritikan  terhadap lawan politik mereka, tegas Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Mohd Anuar Tahir.

Beliau berkata, Amanah sebagai parti politik yang mengamalkan konsep keterbukaan tidak menghalang ahli dan pemimpinnya mengkritik pihak lawan termasuk Pas, namun perlu dilakukan dengan profesional dan beradab.

“Saya tidak mengatakan tidak boleh mengkritik. Saya sendiri terus menerus mengkritik parti lawan. Tapi jangan guna perkataan-perkataan kesat, kasar dan bersifat mengeji.

“Pimpinan Amanah sendiri bersikap terbuka dengan mengkritik, memberikan cadangan balas dan kalau tidak bersetuju menyatakan tidak setuju. Tapi jangan menggunakan kata-kata kesat dan keji.

“Kata-kata nista tidak membawa kita ke mana-mana,” katanya ketika ditemui di Wisma Amanah, Jalan Kuching baru-baru ini.

Dalam program Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2017 di Shah Alam pada 5 Februari lalu, Anuar menyeru seluruh ahli dan penyokongnya menghentikan sebarang bentuk penghinaan atau kata-kata kesat terhadap lawan politik mereka termasuk Pas.

Seruan itu menimbulkan tafsiran berbeza daripada pelbagai pihak dan tidak kurang yang memahami ia sebagai larangan mengkritik Pas.

Mengulas lanjut, Anuar berkata untuk mewujudkan politik baharu, ahli dan penyokong Amanah perlu meninggalkan amalan memaki hamun pihak lawan.

Tambahan pula katanya, masyarakat yang berdepan dengan pelbagai cabaran hari ini semakin jemu dengan ahli politik yang saling memaki hamun dan dilihat tidak serius menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya bimbang di Malaysia ini, generasi muda jadi jemu dengan politik. Negara sudah beberapa tahun merdeka dan mengamalkan demokrasi sampai bila kita nak berada dalam keadaan ini.

“Apabila kita nak mewujudkan sebuah masyarakat yang betul-betul demokrat, kita kena mengamalkan politik santun. Bukan ertinya tak boleh bercanggah dan bertentangan pendapat, tak boleh membantah tapi ia harus berlaku dalam santun.

“Mengapa mesti gunakan bahasa-bahasa yang keji? Sebab itu kekecewaan kita dalam sebuah parti politik yang kita anggotai dulu apabila perkataan-perkataan yang keluar ialah perkataan yang kesat seperti barua, anjing, babi, munafik. Bukankah terasa sekali pedihnya,” jelasnya lagi, dipercayai merujuk kepada Pas yang sering menuduh pimpinan Amanah sebagai pengkhianat kerana meninggalkan parti Islam itu dan mewujudkan parti baharu.

Dalam pada itu beliau berkata, Amanah harus memberikan tumpuan kepada golongan atas pagar atau tidak berparti yang disifatkan sebagai golongan penentu kemenangan pembangkang atau kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Tak lama lagi parlimen akan dibubarkan dan kita akan memasuki pilihan raya dan yang akan menentukan kalah menangnya Amanah ialah orang awam yang tidak berparti. Mereka inilah yang memenangakn Pas, PKR, DAP dulu dan mereka jugalah yang memenangkan BN dulu.

“Jangan biarkan golongan ini jadi jemu dengan orang politik sehingga wujud golongan neutral yang tak mahu terlibat langsung dengan politik kepartian sehingga tak mahu keluar mengundi,” katanya.