Malaysia Dateline

AMANAH kawasan Bagan terima 150 ahli bukan Melayu, buka dua cawangan

Hasil gerak kerja yang bersungguh-sungguh akhirnya sebahagian besar masyarakat bukan Melayu dalam kawasan Bagan telah menyerahkan borang penyertaan dan menyertai AMANAH.

Malah 50 peratus daripada mereka yang menubuhkan dua cawangan baharu iaitu Kampung Benggali dan Sungei Puyu adalah terdiri dari kalangan penyokong keturunan India.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Bagan, Zulkiply Ishak ketika ditemui semasa majlis penyerahan borang keahlian baru kepada Naib Presiden, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus baru-baru ini.

Jelas Zulkiply lagi, seramai 150 ahli baru telah menyertai AMANAH kawasan melalui penubuhan dua lagi cawangan baru kali ini.

“Walaupun sebelum ini pelbagai tohmahan dan dakyah dilemparkan kepada AMANAH khususnya dalam kawasan Bagan.

“Namun begitu AMANAH kawasan tidak pernah putus asa dan hilang semangat.

“Sebaliknya kita meneruskan gerak kerja turun padang dan memberi penerangan termasuklah khidmat masyarakat kepada mereka yang perlu diberi sokongan, ” tegasnya.

Penyerahan borang keahlian baru kepada Ketua AMANAH Kawasan Bagan Zulkiply Ishak empat dari kiri

Sehubungan itu katanya, sebagai rakan kongsi dalam kerajaan negeri Pulau Pinang, AMANAH mempunyai tanggungjawab yang besar bagi menjelaskan polisi kerajaan PH kepada masyarakat dibawah.

“Tanpa mengambil kira fahaman dan ideologi politik masyarakat setempat kita terus bergerak saban waktu.

“Penerangan dan maklumat disampaikan dengan cara berhemah sehingga mereka merasakan ada kelainan pada AMANAH.

“Akhirnya kita berjaya menarik begitu ramai masyarakat keturunan India dan juga Cina untuk menyertai AMANAH pada kali ini, ” ujarnya lagi.