Malaysia Dateline

AMANAH kawasan Sik turun padang dalam program ‘Jom Ziarah Pondok’

Dr Ismail bersama pimpinan AMANAH kawasan Sik ketika menemui pimpinan Madrasah Al-Ahmadiah, Jeneri, Sik, Kedah semalam.

Sebagai sebuah parti yang peduli terhadap segala permasalahan yang diluahkan, AMANAH kawasan Sik, Kedah mengambil pendekatan segera dalam program ‘Jom Ziarah Pondok’.

Program ‘Jom Ziarah Pondok’ yang turut disertai oleh Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh telah turun padang melawat Madrasah Al-Ahmadiah yang juga dikenali sebagai Pondok Haji Mat Nahu, Kampung Kuala Beris, Jeneri, semalam.

Menurut Dr Ismail, rombongan tersebut terdiri dari 10 orang Ahli Jawatankuasa AMANAH kawasan Sik turun padang untuk berkongsi ruang dan peluang yang disediakan.

“Terdapat banyak ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan oleh institusi Tahfiz dan juga Pondok.

Datuk Dr Ismail Salleh dalam program ‘Jom Ziarah Pondok’ di Sik, Kedah semalam.

“Banyak peluang yang disediakan bukan sahaja oleh kerajaan negeri tetapi juga melalui kerajaan Persekutuan.

“Mulai Januari 2020 yang akan datang, negeri Kedah akan menjadi perintis bagi Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada Tahfiz yang telah diperkenalkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri turut berkata, program tersebut kelak akan melengkapkan pelajar dalam dua bidang yang turut merangkumi bidang Tahfiz serta kemahiran.

Malah katanya, peluang ini adalah sebagai persediaan kepada pelajar untuk mempunyai nilai tambah mencari pekerjaan.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan memberi dokongan yang sebaik mungkin bagi memastikan pelajar akan terus diberi pendedahan yang sama rata.

Adalah difahamkan bagi agihan peruntukan kerajaan Persekutuan kepada institusi Pondok dan Tahfiz berdaftar, Negeri Kedah menerima agihan peruntukan teringgi melebihi RM11 juta jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Hadir sama dalam program ‘Jom Ziarah Pondok’ tersebut ialah Penyelaras Parlimen Sik, Azli Che Uda.