Sejak Jumaat lalu, tentera Rejim Israel dilaporkan telah melakukan serangan tidak berhati perut terhadap umat Islam Palestin termasuk anggota perubatan dan wartawan di Masjid Al-Aqsa.
Presiden AMANAH Mohamad Sabu, menyatakan pendirian tegas yang mengecam sekeras-kerasnya tindakan regim zionis Israel yang melakukan kezaliman di dalam Masjid al Aqsa dan masjid-masjid yang lain di bulan Ramadan.
Susulan itu bagi menyatakan bantahan kekejaman tersebut, AMANAH dimaklumkan akan membuat bantahan beramai-ramai pada Jumaat depan, 29 April iaitu bersamaan dengan Hari al-Quds di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.
*Mereka melakukan pembunuhan hampir setiap hari ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa.
“Kita amat kesal kerana semakin banyak negara-negara Arab dan negara Islam yang mengiktiraf Israel dan menjalinkan hubungan baik dengan negara Zionis.
“Di manakah hilangnya nilai perjuangan kesatuan ummah untuk membela rakyat Palestin daripada negara-negara Islam, khususnya dunia Arab yang berjiran dengan mereka?,” soalnya dalam satu kenyataan malam tadi.
Setakat semalam, sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin dilapor tercedera susulan pertempuran antara tentera Israel dan rakyat Palestin apabila rejim Israel itu menyerbu perkarangan masjid selepas solat subuh pada Jumaat.
Sementara itu, Mohamad menyatakan rasa hairan sekaligus teruja dengan pendirian golongan bukan Islam di Eropah, yang bangkit membela rakyat Palestin di atas kezaliman dilakukan oleh tentera regim zionis Israel terhadap penduduk Palestin.
Katanya, hubungan erat dunia Arab dengan Israel dilihat seolah-olah mereka merestui tindakan Israel menindas rakyat Palestin.
Oleh kerana itu katanya, beliau sendiri akan turun bersama rakyat yang prihatin untuk menyampaikan nota bantahan rakyat Malaysia terhadap kezaliman regim zionis Israel di Kedutaan Amerika Syarikat nanti.
Baca juga: Selepas 1MDB kini 4 lagi skandal kewangan besar dihadapi negara