Malaysia Dateline

AMANAH Kedah hantar bantuan banjir ke Pantai Timur

Prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur, Pemuda AMANAH negeri Kedah mengambil inisiatif dengan mengumpulkan sumbangan yang berupakan makanan, lampin bayi, susu, tuala dan lain-lain keperluan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa tersebut.

Menurut ketuanya, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad (gambar), misi bantuan ini digerakkan atas keprihatinan bersama AMANAH negeri Kedah serta sokongan dan sumbangan yang dikumpul bersama oleh AWAN, ARIF dan AMANAH negeri Kedah.

“Sebanyak lima buah kenderaan membawa peralatan dan bantuan banjir untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di Temerloh, Pahang yang teruk dilanda banjir baru- baru ini.

“Dengan sumbangan yang telah berjaya dikumpulkan dari pelbagai pihak tersebut ia diharapkan dapat meringankan beban dan kesukaran yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir tersebut.

“Inisiatif yang turut diambil oleh Biro Bencana dan Kebajikan AMANAH negeri Kedah ini akan terus ditingkatkan bagi memastikan kepedulian terhadap mangsa banjir tersebut dan nasib mereka mendapat pembelaan semaksima mungkin tanpa mengambil kira ideologi dan fahaman politik mereka, ” ujar beliau.

Majlis pelepasan misi bantuan banjir tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh di pejabat AMANAH kawasan Merbok.