AMANAH Kedah lapor polis dakwa penceramah bebas fitnah kerajaan PH

Khairizal (dua dari kiri) bersama dua saksi menunjukkan laporan polis yang telah dibuat semalam.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Mohd Khairizal Khazali, bersama-sama dengan Ahli Jawatankuasa AMANAH kawasan Merbok dan Sungei Petani telah membuat laporan polis terhadap penceramah bebas, Shaharudin Ibrahim di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Sungei Petani semalam.

Menurut Khairizal lagi, laporan polis dibuat setelah mendapati penceramah tersebut memfitnah kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Al-Muttaqin, Taman Ria, Sungei Petani kelmarin.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda AMANAH kawasan Merbok turut berkata, antara teks khutbah yang dibacakan mendakwa kerajaan PH mengiktiraf LGBT.

“Dalam khutbah tersebut juga dinyatakan bahawa kerajaan PH akan membina tandas untuk golongan LGBT.

Shaharudin Ibrahim yang didakwa memfitnah kerajaan Pakatan Harapan dalam khutbah Jumaat beliau di Sungei Petani.

“Selain itu beliau turut mendakwa kerajaan PH melantik orang kafir menjadi Menteri kabinet serta akan membubarkan Jakim.

“Beliau juga menghasut jemaah supaya menolak kerajaan PH,” tegasnya.

Sehubungan itu jelas Khairizal lagi, khutbah tersebut berniat jahat dan menghasut rakyat untuk membenci kerajaan.

Oleh kerana itu tambahnya, pihak berwajib dan berkuasa harus mengambil tindakan segera terhadap Shaharudin dan Ahli Jawatankuasa Masjid agar perkara ini tidak berulang lagi.

Ujarnya lagi terdapat ramai saksi yang dapat diketengahkan sebagai bukti mengenai dakwaan yang telah dibuat terhadap khutbah Jumaat yang disampaikan Shaharudin.

3.3
OVERALL SCORE
2 user votes x 5.0