Malaysia Dateline

AMANAH Kedah lapor polis isu Kapal Tempur Pesisir

Kesal dengan penyelewengan yang berleluasa melibatkan skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS), AMANAH Kedah pada semalam telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah kota Setar.

Laporan dibuat supaya pihak polis menjalankan siasatan terperinci terhadap Datuk Seri Najib Razak setelah Laporan Jawatankuasa  Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Dewan Negara baru-baru ini mendedahkan skandal perolehan dan pembinaan Kapal LCS. 

Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, pendedahan penyelewengan besar wang negara dengan nilai sebanyak RM9 bilion merupakan satu malapetaka kepada keselamatan dan mencabar kedaulatan negara. 

“Salah laku ini serius dan satu siasatan perlu dibuat dengan segera terhadap Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tahun 2009 sehinggalah 2018.

“Ketika itu beliau juga  merupakan Pengerusi Mesyuarat Kabinet pada yang telah membenarkan dana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) digunakan bagi membeli dan membuat enam kapal LCS. 

“Siasatan juga harus dilakukan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Menteri Pertahanan mulai 10 April 2009 hingga 15 Mei 2013,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada 11 Julai 2011, Ahmad Zahid telah meluluskan penukaran reka bentuk kapal LCS dari Sigma Belanda kepada reka bentuk Gowind dari Perancis walaupun telah mendapat teguran dari Panglima Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia ketika itu serta pembayaran kepada syarikat CAD dan CED berjumlah lebih kurang RM3.3 bilion. 

Selain itu menurut Ismail, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga merupakan Menteri Pertahanan mulai 16 Mei 2013 sehingga Mei 2018 juga perlu disiasat kerana telah meluluskan dana LTAT bagi pembayaran kepada BNS untuk pembelian dan penukaran peralatan utama yang mengikut ‘variation order’, tidak dapat dijustifikasikan pembelian tersebut kerana reka bentuk kapal belum lagi dimuktamadkan oleh pihak Kementerian Pertahanan dan TLDM selaku pengguna akhir atau ‘end user.

Sejajar dengan itu tegas Ismail, penyelewengan salah laku dan ketirisan ini menuntut satu siasatan segera dan rapi dibuat oleh pihak berkuasa di bawah peruntukan undang-undang sedia ada seperti mana disyorkan oleh PAC dan seterusnya mendakwa nereka yang terlibat.