AMANAH Kedah terima sekitar 1,500 ahli baharu setiap bulan

AMANAH Kedah terima sekitar 1,500 ahli baharu setiap bulan

Tidak dapat dinafikan AMANAH kini merupakan salah satu parti yang stabil kedudukannya dalam negara tatkala ini.

Jumlah kemasukan ahli baharu yang menyertai AMANAH adalah sekitar 1,500 orang setiap bulan selepas pilihan raya sehinggalah sekarang.

Walau bagaimanapun setiap bulan tidak ada mana-mana negeri yang boleh menandingi Kelantan kerana penyertaan ahli baharu adalah yang tertinggi sekitar 2,000 ahli baru selepas pilihan raya umum sehingga kini.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh ketika ditemui pada program ‘Malaysia Baharu-Peluang dan Peranan Rakyat’ yang diadakan di Pendang, Kedah, kelmarin.

Jelas beliau lagi, penambahan yang berlaku membuktikan AMANAH telah diyakini dapat meneruskan kesinambungan perjuangan bagi membela nasib pelbagai golongan masyarakat yang ada dalam negara ini.

“Boleh dikatakan 50 peratus daripada mereka yang menyertai AMANAH adalah mereka yang menganggotoai parti Umno dan Pas sebelum ini.

“Secara keseluruhannya ini memperlihatkan kemampuan AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) untuk terus menerajui kepimpinan negeri Kedah dan juga Pusat.

“Sayap parti iaitu AWAN telah ditubuhkan bagi seluruh negeri Kedah kecuali Merbok yang sedang dalam proses,” ujar beliau lagi.

Malah katanya, Pemuda AMANAH juga telah ditubuhkan hampir kesemua kawasan yang ada dalam negeri Kedah, walaupun terdapat sedikit kelewatan dari segi pendaftaran.

“Banyak kawasan telah disusun semula bagi memastikan urus tadbir yang baik dan lebih efisien.

“Sementara itu program turun padang, ziarah dan peduli rakyat tetap diteruskan sejak sebelum pilihan raya umum sehinggalah sekarang.

“Secara jelas ia menunjukkan bahawa AMANAH tetap konsisten dalam merencanakan aktiviti dan mendengar keluhan serta suara rakyat dibawah hingga kini,” tambah beliau yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah.