Malaysia Dateline

AMANAH kekal pendirian terus bersama Pakatan Harapan

Walaupun suhu politik negara naik dan turun ketika ini, AMANAH tetap dengan pendiriannya untuk terus kekal bersama Pakatan Harapan (PH).

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, pihaknya bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tetap kekal bersatu.

“Kerajaan yang ada selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu sebenarnya kukuh, tetapi dengan penglibatan beberapa pengkhianat-pengkhianat dalam kalangan kita sendiri, telah cuba untuk mewujudkan kerajaan pintu belakang.

Senator Aiman Athirah Al – Jundi

“Walaubagaimanapun, Allah maha kaya. Rakyat berdoa supaya perkara itu tidak berlaku, maka kita boleh melihat kelmarin Umno dan Pas telah menyatakan pendirian bahawa mereka tidak memilih Tun Mahathir, tetapi mahu ke arah pembubaran parlimen.

“Ini adalah sikap mereka sejak tewas dalam PRU-14. Mereka tidak pernah berhenti mendesak supaya kerajaan yang sudah pun dipilih dan diberikan mandat oleh rakyat ini dibubarkan,” katanya ketika ditemui pemberita di hadpan Pintu 2 Istana Negara, hari ini.

Beliau hadir di hadapan Istana Negara bagi memberi sokongan kepada 11 Ahli Parlimen daripada AMANAH yang mengadap Agong hari ini.

Dalam pada itu, Aiman Athirah turut menyifatkan Umno dan Pas cuba melakukan segala onar untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan Pakatan Harapan tidak sah.

“Sepanjang masa mereka cuba melakukan segala onar untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan ini (PH) ini tidak sah, seolah-olah kerajaan ini menghadapi masalah dan hasil daripada wujudnya pengkhianat-pengkhianat dalam PH, maka keadaan ini berlaku

“Saya bagi pihak rakan-rakan dalam AMANAH, PKR dan DAP menghantar mesej kepada rakan-rakan kita daripada Bersatu yang mungkin terkhilaf, marilah bersama-sama dengan kami semula, kita bangunkan kerajaan PH dan bina semula negara. Kita teruskan kerja kita sehinggalah mencapai kejayaan, insyaAllah,” katanya.