Malaysia Dateline

AMANAH Kelantan bersyukur bersama PH bebaskan rakyat daripada kleptokrasi

 

Meskipun baru menyambut ulangtahun ketiga, AMANAH melahirkan kesyukuran kerana dapat bersama parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) menamatkan rejim kleptokrasi Umno-BN dalam PRU14 yang lalu.

Pengerusi AMANAH Kelantan,  Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata dengan kerjasama Pakatan Harapan, parti-parti anggotanya yang terdiri daripada PKR, DAP,Bersatu dan AMANAH akhirnya telah berjaya membebaskan negara berkat sokongan rakyat.

“Sempena dengan Sambutan Ulangtahun AMANAH kali ke-3 pada 22 September 2018 di Temerloh, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan dan aktivis yang telah bertungkus lumus berjuang bersama demi masa depan negara tercinta,” katanya dalam perutusan khas hari ini sempena acara berkenaan.

Perjuangan Islam katanya, perlu diteruskan tanpa mengira wadah yang menjadi pegangan semasa.

“Saya bernasib baik diberi peluang untuk bersama-sama 33 orang pimpinan daripada Pas mengadakan retreat di Hotel UiTM Shah Alam pada bulan Ramadhan 2015 bagi membincangkan betapa perlunya susunan baru menyelamatkan kerjasama politik Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Tidak lama sebelum itu katanya, Muktamar Pas 2015 yang berlangsung di Kuala Selangor telah membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan DAP dan PR.

“Perjumpaan yang berjalan daripada pukul 10.00 pagi hingga berbuka puasa bersama telah mencapai beberapa persetujuan termasuk menimbangkan nama Parti Amanah Negara (AMANAH),” katanya.

Menurutnya AMANAH akhirnya diisyhtiharkan pada 31 Ogos 2015 di Hotel Vistana, Kuala Lumpur.

“Majlis pelancarannya pula diadakan pada 16 September tahun yang sama bertempat di IDCC Shah Alam,” katanya.