AMANAH Kelantan cadang masjid dibuka kepada jemaah yang telah divaksin

Oleh BORHAN AHMAD

AMANAH Kelantan pada hari ini mencadangkan kepada pihak berkuasa agar memberi kebenaran kepada masjid dan surau di negeri ini untuk kembali beroperasi kepada para jemaah yang telah menerima suntikan vaksin.

Menerusi sebuah kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini, AMANAH Kelantan berpendapat, pihak berkuasa boleh mempertimbangkan untuk beri kebenaran beroperasi dan membuka semula masjid dan surau dengan perlaksanaan SOP yang ketat seperti sebelum ini.

Pengerusi AMANAH Kelantan Ustaz Muhammad Husain berkata, kadar kes jangkitan di negeri ini sudah ada trend penurunan, manakala kadar vaksinasi pula sudah ada trend peningkatan, maka seharusnya masjid yang menjadi syiar Islam ini dipertimbangkan untuk dibuka.

“Kita faham maqasid syariah untuk menjaga kemaslahatan nyawa, tetapi memandangkan sudah ramai warga emas diberi suntikan vaksin, kita berpendapat tak salah untuk kita kaji pembukaan semula masjid dengan SOP tertentu.

“Lagipun, kita boleh kesan jemaah yang sudah terima vaksin itu melalui MySejahtera, mungkin pihak berkuasa boleh tambah baik lagi SOP itu seterusnya beri peluang kepada yang dah terima vaksin untuk pergi ke masjid,”kata Ustaz Muhammad Husain.

Dalam kenyataan media itu, antara lain pihak mereka mencadangkan supaya perlaksanaan SOP seperti imbasan MySejahtera Check In, imbasan suhu badan, penjarakan sosial dan sistem nombor giliran mengikut kapasiti masjid dilaksanakan.

“Selain dari aspek fizikal, kita perlu pertimbangkan juga aspek mental dan kerohanian turut dititik berat dalam musim pandemik Covid 19 melanda, bila ancaman semakin reda, perlu ada usaha untuk syiar Islam ini kembali diperkasa,” tambah Pengerusi AMANAH Kelantan itu lagi.

Dalam kenyataan media itu juga, AMANAH Kelantan menyeru kepada pihak berwajib seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Majlis Keselamatan Negara Negeri Kelantan (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan untuk mempertimbangkan cadangan oleh AMANAH Kelantan itu demi kesejahteraan ummah di negeri ini.