Pihak AMANAH Kelantan dan AMANAH Terengganu hari ini mengecam keras sebuah kenyataan daripada Presiden Pas yang menyifatkan lawan politiknya dari Pakatan Harapan sebagai musuh Islam.
Dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua-dua Pengerusi AMANAH Kelantan dan Terengganu itu menyifatkan tuduhan Hadi Awang terhadap lawan politiknya itu sebagai amat tidak bertanggungjawab, bersifat fitnah dan sebagai cubaan untuk memecahbelahkan perpaduan umat islam di Malaysia.
Menurut Pengerusi AMANAH Kelantan Ustaz Muhammad Husain berkata, kesan perpecahan yang dialami oleh umat Islam di negara ini hasil dari Amanat Hadi Awang pada tahun 1981 di Banggol Peradong dahulu masih jelas sehingga hari ini.
“Akibat dari amanat Hadi Awang yang seolah-olah mengkafirkan Umno dahulu, berlaku perpecahan besar dalam kalangan umat Islam di negara kita sehingga tercetusnya Peristiwa Memali “, kata Ustaz Muhammad Husain.
Pengerusi AMANAH Terengganu Senator Dato Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pula berkata, tindakan Hadi Awang melabelkan pihak tertentu terutama daripada Pakatan Harapan adalah musuh Islam sebagai cubaan mengulangi kesesatan amanatnya yang terdahulu.
” Semua parti dalam Pakatan Harapan adalah sah berdaftar di sisi undang-undang, diiktiraf dan layak menyertai arena politik negara, serta teguh menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, sama sahaja kedudukan dengan Pas dan lain-lain “, jelas Dato Raja Bahrin.
“Sehingga hari ini Pakatan Harapan tidak pernah dituduh dan disabitkan atas mana-mana kesalahan sama ada menghina atau memusuhi Islam, menentang Raja-Raja Melayu atau mengancam kedudukan hak istimewa orang Melayu”, jelas Pengerusi AMANAH Terengganu itu lagi.
Kedua-dua Pengerusi AMANAH Negeri itu juga menyifatkan tuduhan musuh Islam oleh Hadi Awang sebagai satu lagi cubaan bersifat fitnah untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam demi kepentingan politik sempit semata-mata.
Pihak AMANAH Kelantan dan Terengganu juga mendesak agar Hadi Awang menarik balik tuduhan jahat yang jelas merupakan fitnah dan mengingatkan Hadi tentang kesan buruk yang melanda umat Islam di negara ini akibat dari keceluparan mulutnya dalam amanat yang disampaikan di Banggol Peradong berpuluh tahun dahulu.
Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga digesa menjelaskan pendirian mereka berhubung tuduhan terbaru Hadi Awang yang sewenang-wenangnya menuduh pihak tertentu sebagai musuh Islam dan menjelaskan status “kehilangan” fatwa kesesatan Amanat Hadi Awang dari laman web mereka, sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan bahawa amanat itu adalah sesat pada tahun 1984.