AMANAH Kelantan dapat perhatian diplomat asing

AMANAH Kelantan dapat perhatian diplomat asing

AMANAH Kelantan terus mendapat perhatian diplomat asing apabila dikunjungi Setiausaha Kedua (Politik) Suruhanjaya Tinggi Kanada di Kuala Lumpur, Eleanor Belshaw-Hauff.

Menurut pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pertemuan pada Ahad lalu itu jelas meletakkan AMANAH setanding parti-parti lain yang beroperasi di negara ini.

“Walaupun pertemuan itu hanya kunjungan tidak rasmi tetapi perkara-perkara yang beliau timbulkan jelas menunjukkan keyakinan kepada AMANAH.

“Penekanan yang diberi ialah supaya kita menjelaskan perbezaan dengan Pas tetapi perkara yang lebih penting adalah kemungkinan AMANAH mampu bersama kumpulan yang mentadbir negara pada masa hadapan,” katanya.

Bagaimanapun menurut Wan Rahim, Kanada yang kini menjadi negara Komanwel contoh, wajar jadi pedoman kepada pentadbiran negara ini.

“Persekitaran politik, pentadbiran dan perniagaan yang begitu saksama dan dikagumi masyarakat antarabangsa.

“Dengan pentadbiran Perdana Menterinya kini, Justin Trudeau, semua rakyatnya memperolehi hak sama rata.

“Masyarakat Islam di Kanada langsung tidak didiskriminasikan malah mereka dianggap warga terhormat kerana kebanyakannya berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya.

Menurut Wan Rahim, Eleanor memberitahu Perdana Menteri Kanada amat menghormati Malaysia kerana mendiang ayahnya Pierre Trudeau mempunyai hubungan rapat dengan negara ini.

“Pierre Trudeau yang juga pernah memegang jawatan perdana menteri Kanada beberapa kali melawat negara ini dan mempunyai hubungan istimewea dengan almarhum Tun Razak,” katanya.

Apa yang menarik katanya ialah sistem pilihanraya di negara itu yang begitu telus dan memberi kepuasan kepada pengundi dan mendapat pujian dari pemerhati antarabangsa.

“InsyaAllah parti AMANAH akan mengadakan satu delegasi khas untuk meneliti kaedah pilihan raya di sana bila berlaku pilihan raya Kanada akan datang,” katanya.

 

CATEGORIES
TAGS