Malaysia Dateline

AMANAH Kelantan gesa perketat SOP bukan tutup bazar Ramadan

Ustaz Muhammad Hussain

AMANAH Kelantan hari ini melahirkan rasa simpati terhadap golongan peniaga ekoran keputusan kerajaan Pas negeri itu mengarahkan penutupan kesemua bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Muhammad Hussain berkata, pengumuman mengejut kerajaan Pas Kelantan itu berlaku ketika golongan peniaga sedang membuat persiapan dan kehidupan rakyat semakin susah.

“Sepatutnya, kerajaan Pas Kelantan memperketatkan pelaksanaan SOP dan melaksanakan tindakan wajar yang bermatlamat untuk meringankan beban rakyat.

“Ini tidak. Terus tutup bazar tempat rakyat mencari rezeki, tambah pula menjelang Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi,” kata Pengerusi PH negeri itu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed pula berpendapat arahan penutupan bazar sepatutnya disertakan dengan pemberian pakej bantuan kewangan bersifat one-off kepada rakyat terutama peniaga terjejas.

“Berilah sedikit bantuan kewangan, kalaupun tidak dapat tampung kerugian yang dialami oleh golongan peniaga bazar ini, sekurang-kurangnya adalah juga bantuan yang boleh menampung perbelanjaan dapur mereka.

“Mereka sudah berhabis banyak modal untuk persiapan bazar Ramadan sebelum ini,” kata Ketua AMANAH Kawasan Ketereh itu lagi.

Dihukum

Bagi Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Rushdan Mustafa, penutupan bazar Ramadan secara drastik seolah-olah menghukum rakyat dan golongan peniaga.

Walhal, beliau berkata, mereka tidak sepatutnya dipersalahkan kerana kluster jangkitan Covid-19 di Kelantan adalah dari pelbagai jenis dan kategori, dan bukan berpunca daripada aktiviti perniagaan jual beli semata-mata.

“Kebiasaan rakyat Kelantan mencari rezeki melalui perniagaan, dan para peniaga bazar pula semestinya mencari rezeki tambahan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Bahkan, ramai juga sekadar mahu menyambung kehidupan mencari makan agar dapur kekal berasap, melalui perniagaan di bazar Ramadan yang jualannya lebih laris,” ujarnya.

Sehubungan itu, Rushdan yang juga Setiausaha PH negeri itu menegaskan golongan peniaga bazar bukan satu-satunya punca dan penyebab lonjakan kes jangkitan Covid-19 di Kelantan.

“Jadi, kenapa perlu tindakan sebegini drastik bagaikan menghukum golongan peniaga bazar sahaja? Kasihanilah rakyat kita,” tambahnya lagi.

Sehingga kini masih tiada sebarang pakej bantuan dari kerajaan negeri Kelantan diumumkan selepas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin mengumumkan keputusan kerajaan Pas Kelantan untuk menutup bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Sejak malam tadi, ramai rakyat dan golongan peniaga yang terkesan meluahkan kesedihan dan kekecewaan mereka di laman media sosial ekoran keputusan kerajaan Pas Kelantan itu.