AMANAH Kelantan lancar kempen secara maya seru rakyat daftar vaksin

Oleh Oleh ARIFF BASHIRUDDIN

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Kelantan hari ini melancarkan kempen secara maya bagi menyeru seluruh rakyat negeri itu agar mendaftarkan diri dalam Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan.

Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Rushdan Mustafa berkata, semakan dalam laman web vaksincovid.gov.my menunjukkan statistik pendaftaran dan pemberian vaksin kepada rakyat di Kelantan masih rendah.

“Jika kita semak dalam laman web JKJAV itu, masih ramai rakyat Kelantan tidak mendaftar untuk divaksinasi iaitu hanya sekitar 31 peratus  sahaja berbanding jumlah penduduk di negeri ini yang berjumlah hampir dua juta orang.

“Oleh sebab itu kita dari AMANAH Kelantan mengambil inisiatif bagi melancarkan kempen secara maya menerusi laman sosial untuk menyeru rakyat semua daftarkan diri untuk divaksinasi”, katanya yang juga merupakan Setiausaha Pakatan Harapan Negeri Kelantan.

Ketua AMANAH Kawasan Pasir Mas itu juga menjelaskan, setakat hari ini negeri Kelantan berada di dalam kedudukan dua terendah di seluruh negara dalam statistik pendaftaran vaksinasi tersebut.

“Kes jangkitan Covid-19 di Kelantan mencatatkan peningkatan tiga angka dalam tempoh seminggu berturut-turut, ini bermakna kadar jangkitan di negeri ini agak tinggi walaupun kita bukan negeri industri.

“Dengan kadar peratusan pendaftaran vaksinasi yang rendah dalam kalangan rakyat jika dibandingkan dengan nisbah penduduk di negeri ini, ianya amat membimbangkan kita semua.

“Oleh sebab itu kita merasa terpanggil untuk melancarkan kempen daftar vaksinasi ini walaupun secara maya bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat tentang pentingnya untuk mendaftar dalam program vaksinasi Covid 19 ini,” tambah beliau.