Amanah Kelantan perkemas jentera siber hadapi PRU14

Amanah Kelantan perkemas jentera siber hadapi PRU14

Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan sedang memperkemas jentera bagi memanfaatkan sepenuhnya teknologi siber dalam persiapan menghadapi Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusinya Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah berkata bagi tujuan itu, petugas-petugas teknologi maklumat (IT) peringkat negeri, kawasan dan Dun di seluruh Kelantan akan diberi latihan dari semasa ke semasa.

“Alhamdulillah hari ini satu kursus khas e-voters diadakan bagi meningkatkan kemahiran petugas-petugas parti menjalankan kerja-kerja berkaitan pengundi.

“Kursus ini dikendalikan terus oleh bahagian IT Amanah Nasional yang telah membangunkan perisian khas untuk petugas-petugas pilihanraya Amanah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan seminar e-voters di pejabat Amanah kawasan Kubang Kerian semalam.

Kursus yang dihadiri 100 orang peserta dari seluruh Kelantan itu berlangsung sehari.

Beliau bersyukur kerana hampir seluruh peserta yang hadir trerdiri dari golongan muda yang memang mempunyai kemahiran tinggi dan cekap dalam bidang IT.

“Kesungguhan golongan muda ini menunjukkan parti Amanah mempunyai masa depan yang cerah kerana dunia masa depan akan semakin bergantung kepada teknologi maklumat yang semakin canggih.

“Apa yang menarik, petugas-petugas nasional yang hadir saya dapati hampir seratus peratus bekas petugas parti lama saya yang kini bersama Amanah.

“Mereka ini saya sudah kenal lama semasa menjadi pengurus pilihanraya parti lama,” katanya.

Prof Dr Abdul Halim YusofSementara itu pengarah seminar tersebut Datuk Prof Dr Abdul Halim Yusof berkata, peserta didedahkan dengan teknik-teknik baru menguruskan secara elektronik daftar pemilih dan proses mengenal pasti pengundi.

“Melalui program e-voters, proses mengurus pengundi dari mendaftar hinggalah pengendalian hari mengundi dapat diurus dengan mudah kerana kita tidak lagi perlu menggunakan proses manual sebaliknya semua urusan akan dibuat secara elektronik.

“Kita juga memperkenalkan proses mencula pengundi melalui perisian e-profile yang akan menggunakan sepenuhnya kemudahan-kemudahan baru alam siber seperti google map, facebook ads dan google drive,” katanya.

Beliau berharap peserta-perserta yang hadir kursus berkenaan akan segera memberi latihan kepada ahli-ahli parti dan petugas-petugas pilihanraya Amanah semua peringkat.

“Kita yakin kesungguhan yang ditunjukkan peserta dan keupayaan perisian-perisian yang digunakan akan menjadikan kerja-kerja kempen dan proses pengendalian pengundi menjadi lebih mudah dan berkesan,” katanya.

TAGS