Malaysia Dateline

AMANAH Kelantan rangka pelan tingkatkan ekonomi belia PH

Hishamuddin Ghazali  (tengah) menunjukkan ikan punyu yang diternak siap sedia untuk di pasarkan.

Rancangan meningkatkan ekonomi belia akan menggabungkan sumber tradisi dan teknologi baharu apabila Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri Kelantan.

Setiausaha jentera pilihanraya PH Kelantan Mohd Khir Zahari Abdul Ghani berkata inisiatif untuk merealisasikan pelan tersebut telah dimulakan.

“Kita telah menubuhkan beberapa unit untuk menggerakkan program ekonomi khususnya di kalangan belia.

“Sumber ekonomi tradisi iaitu pertanian dan penternakan akan diolah untuk menjadikan tahap komersial dan dapat dilaksanakan dengan kemudahan sedia ada,” katanya ketika merasmikan kursus ternakan puyu Siam di Wakaf Bharu semalam.

Beliau mengucapkan tahniah kepada AMANAH Agro yang dikendalikan pemuda parti itu yang telah merancang susunan bagi mengembangkan bidang pertanian dan penternakan.

“Misalnya Tumpat dijadikan sebagai Zon Dapur Kelantan.

“Pengeluar hasil pertanian ini sebagaimana yang dihasratkan oleh arwah Tok Guru dulu iaitu menjadikan Kelantan sebagai jelapang makanan negara benar-benar berlaku dan bukan semata-mata slogan.

“Program AMANAH Agro terus menjadi platform bagi rakyat khususnya dari golongan belia.

“Harapan kami ingin melangkah jauh kedepan dalam merealisasikan hasrat rakyat untuk menjana pendapatan dari pelbagai sumber termasuk agro penternakan, agro pertanian, agro perikanan, bioteknologi dan lain lain lagi,” katanya.

Khir Zahari (kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta yang menyertai program Amanah Agro

Sementara itu pengarah AMANAH Agro Hishamuddin Ghazali atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz berkata kewujudan program itu mensasarkan peningkatan ekonomi golongan muda melalui program keusahawanan strategik bagi memberi impak kepada mesyarakat terutamanya di kawasan luar bandar tanpa mengira
warna politik.

“Kursus hari ini merupakan siri ke 4 program AMANAH Agro sebelum ini kursus tanaman pisang dan kawalan penyakit Fusarium, kursus ternakan kambing, lembu tenusu, itik penelur, dan EM dan kursus menulis rancangan perniagaan.

“Majoriti program yang dianjurkan sambutannya memang di luar jangkaan.

“Untuk kursus hari ini, sejumlah 70 orang peserta telah hadir sedangkan asalnya kita hanya membukan untuk 20 peserta sahaja.

“Ini merupakan satu petanda program AMANAH diterima oleh rakyat Kelantan pada PRU14 akan datang,” katanya.

Beberapa program yang telah dirancang akan diadakan dalam waktu terdekat oleh AMANAH Agro.

“Ini termasuklah kursus ternakan cendawan, lebah kelulut dan produk hiliran.

“Kursus ternakan ayam kampung dan penghasilan makanan ternakan, kursus penghasilan dedak organik, kursus ternakan ketam nipah, kursus tanaman fertigasi, kursus ternakan ikan sangkar dan banyak lagi kursus yang ditawarkan dan dibuat dua kali sebulan,” katanya.

Kursus sehari itu dikendalikan sendiri oleh pengerusi persatuan usahawan puyu Kelantan Mohd Izzat Mohd Zubir yang juga disertai penceramah-penceramah dari agensi-agensi berkaitan.