Malaysia Dateline

AMANAH Kelantan: Segera agihkan vaksin kepada yang berminat

AMANAH Kelantan memandang serius pendedahan yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Hussin yang menyatakan bahawa lebih 10 ribu rakyat gagal menghadirkan diri untuk menerima vaksin dan mencadangkan supaya slot vaksin itu diberikan kepada mereka yang berminat.

Pengerusi AMANAH Kelantan Ustaz Muhammad Husain dalam suatu kenyataan kepada Malaysia Dateline berkata, beliau sedih dengan pendedahan tentang kegagalan lebih 10 ribu penerima vaksin untuk hadir menerima suntikan itu sedangkan kes jangkitan Covid 19 di Kelantan kini bertambah parah.

“Kita menyeru kepada semua rakyat Kelantan supaya mendaftarkan diri dalam program vaksinasi melalui MySejahtera, dan kepada yang sudah diberi slot penerimaan vaksin, mereka mesti hadir untuk divaksin demi kebaikan semua pihak,” kata Ustaz Muhammad yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Kelantan.

Selain itu, beliau juga mendesak pihak kerajaan agar menyegerakan proses vaksinasi kepada rakyat yang telah berdaftar.

“Jika kita semak statistik dalam laman web JKJAV bagi negeri Kelantan, setakat 23 Mei 2021 baru 358,576 telah mendaftar untuk program vaksinasi, tetapi malangnya hanya 75,773 sahaja yang telah divaksin, wujud jurang perbezaan yang besar disitu dan proses vaksinasi ini mesti disegerakan,” tegas Ustaz Muhammad lagi.

Mengulas mengenai pendedahan oleh Pengarah JKNK berhubung lebih 10 ribu orang yang gagal hadir untuk divaksin walaupun sudah ada slot, beliau mencadangkan supaya slot itu diberi kepada pihak yang lebih berminat.

“Sudah hampir 30% rakyat kita berminat untuk divaksin melalui jumlah pendaftaran yang dapat kita lihat dalam statistik di JKJAV, sedangkan baru 6.20% yang baru divaksin, maka kita mahu kerajaan bertindak untuk percepatkan proses vaksinasi ini termasuk berikan slot suntikan itu kepada yang ramai lagi yang sudah berdaftar,” gesa beliau kepada pihak berwajib.

Kelantan setakat ini mencatatkan jumlah yang rendah bagi pendaftaran untuk proses vaksinasi di kalangan rakyat negeri ini, dan proses pemberian vaksin pula agak lambat sehingga jumlah penerima vaksin menjadi lebih rendah dari jumlah pendaftaran yang sudah sedia rendah ini.

Tindakan lebih 10 ribu calon penerima vaksin yang gagal hadir untuk disuntik vaksin itu berpotensi menyebabkan situasi Covid 19 di Kelantan bertambah buruk, dalam keadaan kes jangkitan semakin meningkat tetapi jumlah yang berdaftar dan jumlah yang telah divaksin masih rendah di negeri ini.