Malaysia Dateline

AMANAH Kelantan sokong kempen bendera putih, sediakan petugas bantu rakyat susah

Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara Negeri Kelantan pada hari ini mengeluarkan suatu kenyataan media menyokong kempen kibaran bendera putih oleh rakyat yang memerlukan bantuan di negeri ini.

Pengerusi AMANAH Kelantan Ustaz Muhammad Husain berkata, bagi menyokong kempen bendera putih tersebut, pihak AMANAH Kelantan telah melancarkan pasukan petugas di setiap kawasan bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat yang mengibarkan bendera putih itu.

“Pihak kita telah aktifkan sebuah Team Respon Segera di setiap kawasan yang bertujuan untuk mencari mana-mana rumah penduduk yang kibar bendera putih untuk kita beri bantuan segera’, kata Ustaz Muhammad Husain

Ketika dihubungi pihak Malaysia Dateline, Pengerusi AMANAH Kelantan itu juga berkata, sebuah pasukan bantuan guaman telah ditubuhkan dibawah kendalian Biro Kanun AMANAH Kelantan yang bertujuan untuk beri khidmat guaman kepada pihak yang dikenakan tindakan kerana kibar bendera putih di sini.

“Setakat ini kita tak jumpa mana-mana peruntukan undang-undang yang halang kibar bendera putih, tapi jika ada pihak yang dikenakan tindakan, kita akan bantu sediakan peguam secara percuma”, ulas Pengerusi AMANAH Kelantan itu.

Sebuah akaun bank juga telah diaktifkan bagi tujuan untuk mengumpul dana dan sumbangan kewangan untuk digunakan dalam program penyaluran bantuan segera kepada rakyat yang meminta bantuan melalui kempen bendera putih ini.

“Atas nama Tabung Bantuan Bendera Putih Kelantan, pihak AMANAH Kelantan buka akaun untuk terima sumbangan kewangan, para dermawan boleh menyumbang ke nombor akaun 553104572310 Maybank Islamic Berhad “, tambah beliau lagi.

Pihak AMANAH Kelantan sedia mengambil alih tanggungjawab untuk membantu rakyat yang berada dalam kesusahan sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih di negeri ini, walaupun inisiatif bendera putih ini diperlekehkan oleh pihak PAS yang memerintah Kelantan ketika ini.