Malaysia Dateline

AMANAH Kelantan tolak peletakan jawatan saya, kata Wan Rahim

 

Peletakan jawatan pengerusi AMANAH Kelantan, Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah selepas beliau dilantik sebagai presiden KAFA Sabtu lalu ditolak parti itu.

“Saya telah menulis surat kepada pihak AMANAH untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi parti sebagaimana janji saya jika dipilih sebagai presiden KAFA tetapi kawan-kawan dalam jawatankuasa menolak,” kata Wan Rahim pada sidang media pertama sebagai presiden KAFA di Kota Bharu pagi ini.

Bagaimanapun tempoh beliau mengetuai AMANAH Kelantan akan berakhir 5 Oktober depan apabila sesi kepimpinan baru akan dipilih dalam konvensyen peringkat negeri Kelantan.

“Saya telah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pemilihan parti dalam konvensyen tahunan berkenaan dan tidak akan bertanding sebarang jawatan untuk sesi akan datang.

“Mulai tarikh itu saya tidak lagi terikat dengan pengurusan parti peringkat negeri dan akan menumpukan sepenuh masa bagi memajukan bolesepak Kelantan bersama-sama rakan dalam jawatankuasa KAFA,” katanya.

Pada sidang media itu Wn Rahim melahirkan penghargaan kepada bekas presiden KAFA Tan Sri Anuar Musa.

“Kita hargai kejayaan Tan Sri Anuar Musa yang berjaya menjulang nama KAFA.

“Kita berbincang dalam mesyuarat malam tadi untuk mencari jalan untuk mengembalikan kegemilangan pasukan kita seperti yang pernah berlaku semasa Tan Sri Anuar mengetuai KAFA,” katanya.

Berkenaan hutang yang ditanggung persatuan bolasepak itu beliau berkata satu jawatankuasa khas telah pun dibentuk.

“Kita sedar isu ini amat kritikal dan malam tadi kita telah membentuk satu jawatankuasa khas bagi menyelasaikan hutang yang yang ditanggung persatuan,” katanya.

Sabtu lalu Wan Abd Rahim Abdullah dipilih sebagai presiden KAFA.

Beliau meraih 28 undi untuk menewaskan pencabarnya Amril Aiman Abd Aziz yang mendapat 16 undi dalam Kongres Luar Biasa (EGM) KAFA di Kota Bharu.

Jawatan timbalan presiden kekal dipegang Afandi Hamzah yang menewaskan dua calon lain.

Tiga jawatan naib presiden pula diisi oleh Shaari Mat Hussain, Prof Dr Zaliman Sauli dan Md Rowi Dollah.