Malaysia Dateline

Tidak pernah lompat, AMANAH keluar parti sebab Pas yang khianat

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad, menjelaskan bahawa AMANAH tidak pernah melakukan khianat dengan tindakan melompat parti biarpun ketika dalam Pakatan Rakyat pada tahun 2013.

Khalid berkata, realitinya AMANAH ditubuhkan selepas Pas sendiri mula mengkhianati gabungan itu dengan cubaan mencari gaduh sesama rakan parti dalam PKR dan DAP.

Malah tegasnya, sikap beberapa pemimpin Bersatu dan PKR yang melompat parti juga tidak seharusnya dikaitkan dengan parti AMANAH.

“AMANAH ni dulu kita bersama dengan Pakatan Rakyat. Pada tahun 2013, kita menang pilihan raya.

“Tiba-tiba kita nampak Pas dan pemimpin tertentu sengaja nak cari gaduh dengan PKR dan lepas itu saja-saja bergaduh dengan DAP.

“Maka, dia nak keluar dan khianat pakatan kita. Oleh kerana dia nak khianat, sebab itulah akhirnya kita yang keluar.

“Dalam satu muktamar, dia pilih pemimpin yang tak mahu lagi dengan DAP dan PKR. Kita tanyalah apa yang tidak kena?” katanya dalam Bicara YB Khalid Samad menerusi Jom Channel FB Live kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan kononnya AMANAH merupakan parti lompat yang keluar dari Pas, sama seperti apa yang dilakukan oleh sebahagian kem Azmin Ali hari ini.

Pada masa sama, Khalid menjelaskan bahawa ketika itu, Pakatan Rakyat jatuh oleh kerana mahukan Pas untuk kekal dalam gabungan itu agar tidak mengkhianati pakatan mereka.

Namun, jelas bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, Pas lebih mahu memilih jalan mengkhianati gabungan tersebut.

“Itu tindakan khianat yang dilakukan oleh Pas, maka kita keluar. Bila kita keluar, kita tubuhkan AMANAH.

“AMANAH kekal dalam PR yang mana kemudiannya kita tubuh Pakatan Harapan (PH) kerana kita bekerjasama dengan PKR dan DAP,” ujarnya.

Justeru, katanya, tindakan yang dilakukan pimpinan AMANAH hari ini sama sekali tidak sama dengan apa yang dilakukan oleh Kem Azmin dan sebahagian pimpinan ahli Bersatu yang meninggalkan PH.

“Jad,i tindakan kita ini tak sama dengan apa yang dilakukan oleh kem Azmin dari PKR dan Muhyiddin dari Bersatu yang keluar dari PH.

“Orang yang keluar dari PH itu adalah orang yang ikut tindak tanduk Pas yang khianat PR dulu, sekarang ini dia khianat PH pula.

“Dr Mahathir, Syed Saddiq dan Mukhriz Mahathir pun bersama PH. Mereka macam AMANAH yang juga kekal dngan PH. Kita tak sama, jangan samakan kita dengan mereka,” tegasnya lagi.