Malaysia Dateline

AMANAH Kepala Batas utamakan kebajikan rakyat

AMANAH kawasan Kepala Batas tetap mengutamakan kebajikan penduduk Parlimen Kepala Batas khususnya bagi kawasan Dun Penaga yang diwakili oleh Pas.

Demikian dinyatakan oleh Ketua kawasan, Ramli Omar ketika menyantuni golongan yang uzur dan memerlukan dalam kawasan Dun Penaga.

Jelasnya lagi, walaupun AMANAH dan PH hanya pembangkang bagi Parlimen Kepala Batas, sebagai sebuah parti politik yang mengutamakan sifat rahmah, program turun padang amat giat dianjurkan.

“AMANAH kawasan Kepala Batas bukan hanya aktif ketika pilihan raya sahaja, sebaliknya amat konsisten dalam menganjurkan program yang dekat dengan masyarakat setempat, apatah lagi kerajaan negeri Pulau Pinang merupakan kerajaan PH yang senantiasa memberi ruang dan peluang kepada wakil AMANAH dalam pengurusan MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung).

“Terkini AMANAH kawasan Kepala Batas bersama MPKK Dun Penaga telah menyantuni keluarga asnaf dengan mengunjungi sepuluh buah rumah dan ia merupakan rutin setiap minggu.

“AMANAH kawasan Kepala Batas menjadi orang tengah dan penyampai dalam meringankan beban penduduk kampung yang mempunyai kekangan kewangan dalam kehidupan mereka.

“Parlimen Kepala Batas merupakan sasaran utama AMANAH walaupun agak mencabar dengan pelbagai kesukaran dan halangan dari pihak lawan, ” tegasnya.

Sehubungan itu tambah beliau, aktiviti kebajikan akan tetap berterusan dan ini sudah pasti akan membuahkan harapan dalam usaha untuk menawan hati pengundi sekiranya pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat.

Ujar beliau lagi, ziarah dan menyantuni keluarga asnaf turut diadakan di Kampung Kota Aur, Rantau Panjang dan juga Kampung Padang yang terletak dalam kawasan Dun Penaga.