Malaysia Dateline

AMANAH ketengah calon wanita, pelbagai kaum di PRN Sarawak

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sarawak bakal meletakkan beberapa muka calon wanita dan daripada pelbagai kaum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan datang.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, perkara itu telah pun diputuskan oleh pimpinan tertinggi AMANAH Sarawak dalam mesyuarat bulanan baru-baru ini.

Jelasnya, senarai nama itu telah dihantar ke peringkat pimpinan AMANAH Nasional untuk tindakan selanjutnya sebelum sebarang pengumuman dilakukan.

“Kita telah mengenal pasti calon wanita dan daripada pelbagai kaum selain Melayu bagi diketengahkan pada PRN12 kelak.

“Nama mereka juga sudah diserahkan kepada pimpinan tertinggi di peringkat nasional bagi tindakan selanjutnya,” ujar Hud Andri.

Sehubungan itu, beliau berharap AMANAH Sarawak akan mampu mencipta sejarah meraih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berdasarkan penampilan calon yang diletakkan itu.

“Sudah terang lagi bersuluh…bahawa AMANAH Sarawak juga hampir seratus peratus diwakili calon anak tempatan pada kali ini.

“Ini membuktikan kita sentiasa mengutamakan calon anak tempatan untuk membangunkan kawasan sendiri sekiranya berjaya memenangi kerusi DUN yang ditandingi.

“Untuk PRN12, AMANAH Sarawak akan bertanding di sembilan kerusi DUN dan adalah tidak mustahil kita berupaya melakar kemenangan di kerusi-kerusi yang ditandingi kali ini,” tambahnya lagi.

Sembilan kerusi bakal yang ditandingi AMANAH Sarawak ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Semop, Kuala Rajang dan Jemoreng.