AMANAH Kota Marudu sampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran

Oleh MALAYSIADATELINE

Parti AMANAH Negara Kawasan Kota Marudu, Sabah tampil menyampaikan sumbangan kepada mangsa rumah kebakaran, Dayang Sofiah Datu Rudin semalam.

Sumbangan berupa wang tunai itu diserahkan oleh Ketua Pemuda dan Ketua AWAN, Zaidi Jatil dan Fina Zarina.

Menurut Zaidi, sumbangan tersebut merupakan yang kedua kali kepada Dayang Sofiah selepasnya rumahnya ranap ekoran kebakaran yang berlaku pada 4 Februari lalu di Kampung Ranau.

Katanya selain rumah, mangsa turut mengalami kerugian selepas kenderaan miliknya terbakar seratus peratus pada hari kejadian berkenaan.

“Semoga dengan sumbangan yang diberikan kepada mangsa ini akan dapat meringankan beban ahli keluarga beliau yang ditimpa bencana tempoh hari.

“Justeru, saya berharap keluarga mangsa tabah menghadapi ujian ini,” ujar Zaidi ketika dihubungi di Kota Merudu, Sabah hari ini.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH Sabah turut berharap agar pihak lain dapat menghulurkan sumbangan kepada mangsa nanti.

Pada masa sama, Zaidi memberitahu AMANAH Kota Merudu akan terus aktif melaksanakan program dan aktiviti kebajikan di kawasan tersebut.

Jelasnya, ia adalah bertujuan bagi mendekati penduduk dan masyarakat di kawasan Kota Merudu serta berupaya menambahkan bilangan ahli-ahli AMANAH pada masa akan datang.

“In shaa Allah…kita sentiasa menyantuni penduduk kampung di kawasan ini dengan mempelbagai program yang akan dilaksanakan nanti.

“Kita bukan setakat datang apabila ada berlaku bencana, tetapi kita sentiasa turun padang untuk mengadakan program bersama masyarakat kampung kelak,” tambah beliau.