Malaysia Dateline

AMANAH Kuala Kedah komited bantu golongan kurang berkemampuan

Sebagai sebuah parti yang amat dekat dengan rakyat, Parti Amanah Negara (AMANAH) Kuala Kedah bersama-sama dengan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) mengambil inisiatif segera bagi membantu anak yatim, ibu tunggal dan keluarga daif khususnya bagi kawasan Dun Kubang Rotan.

Majlis yang diadakan di Kuala Kedah baru-baru ini turut menyerahkan baucer pembelian barang keperluan dan peralatan sekolah seperti baju dan juga seluar.

Antara waris yang turut hadir dalam program penyerahan bantuan keperluan persekolahan baru-baru ini.

Selain itu sumbangan juga adalah untuk pembelian kasut dan beg sekolah.

Menurut Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris, sumbangan yang diberikan adalah bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga miskin serta golongan yang tidak berkemampuan.

“Kerjasama erat dan komitmen yang diberikan oleh AMANAH Kuala Kedah serta komponen PH membuktikan kita amat prihatin terhadap beban kenaikan kos keperluan barangan tersebut.

“Secara tidak langsung, ia memperlihatkan kepedulian kita untuk membantu golongan bawahan yang memerlukan.

“AMANAH Negeri Kedah telah pun menggerakkan jentera bagi meringankan beban keluarga miskin bukan saja bagi kawasan Dun Kubang Rotan dan Parlimen Kuala Kedah, sebaliknya kawasan-kawasan lain juga,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda PH Negeri Kedah turut berkata, kenaikan harga barangan yang begitu melampau kini membuktikan betapa kerajaan yang memerintah tidak mampu untuk mengawal kenaikan harga barangan.

Asmirul menyarungkan pakaian sekolah kepada salah seorang pelajar yang menerima sumbangan.

Malah katanya, kegagalan ini begitu ketara apabila terlalu ramai golongan miskin yang daif dan tidak berkemampuan tidak diberi pembelaan yang sewajarnya oleh kerajaan negeri pimpinan Umno dan BN.

“Menyedari betapa perlunya golongan terlibat diberi dokongan yang sepenuhnya, maka insiatif yang diambil bukan saja meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga terbabit, sebaliknya mengeluarkan mereka daripada kemelut menjelang sesi persekolahan yang begitu hampir.

“Komitmen yang diberikan ini bukan saja untuk sesi persekolahan, tetapi juga merangkumi isu-isu kehidupan rakyat seperti warga emas dan mereka yang uzur serta tidak dipedulikan.

“Manakala golongan tidak berkemampuan yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, juga masih ramai di negeri Kedah.

“Kegagalan kerajaan negeri pimpinan Umno-BN untuk mengatasi masalah ini setelah menerajui kepimpinan negeri sejak lima tahun yang lalu amat mendukacitakan rakyat negeri ini,” tegasnya.

Sehubungan itu katanya, rakyat negeri Kedah harus bangkit dan membuat perubahan drastik dengan menolak pemerintahan Umno-BN untuk menerajui kepimpinan dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Tambahnya lagi, memberi mandat kepada Umno-BN akan mengsengsarakan rakyat negeri Kedah untuk tempoh yang begitu lama.

Justeru katanya, Umno-BN mesti dinyahkan dari persada politik negeri Kedah dan juga peringkat pusat menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Dato Dr Ismail Salleh, Ahli Parlimen Kuala Kedah yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Kedah, Dr Azman Ismail serta kepimpinan Bersatu Kuala Kedah.