Malaysia Dateline

AMANAH Kuala Rajang anjur seminar ekonomi

Parti Amanah Negara Kawasan Tanjung Manis telah menganjurkan seminar ekonomi bertajuk Menyorot Pendapatan Rakyat Marhaen, Cabaran dan Tindakan Pemerintah.

Menurut Pengerusi AMANAH Kuala Rajang, Abu Tariq, seminar tersebut dihadiri oleh Ketua-Ketua Cawangan AMANAH seluruh Kawasan Tanjung Manis yang bertujuan memberi fokus kepada pendapatan per kapita isi rumah sejak Sarawak merdeka sehingga hari ini.

Jelas beliau, cabaran terbesar dalam meningkatkan pendapatan per kapita kaum Bumiputra di Parlimen Tanjung Manis ialah menaik taraf pemasaran produk hasilan penduduk seperti hasil tani, kraf dan hiliran.

“Justeru, kaedah konvensional tanpa pemasaran yang meluas menyebabkan peningkatan pendapatan agak jauh ketara.

“Malah, peranan agensi kerajaan serta capaian internet seharusnya menjadi mekanisme untuk melonjakkan pendapatan namun disebabkan karenah birokrasi dengan dasar pembangunan yang perlahan dan tidak berfokus telah memberi perkembangan ini sangat perlahan,” tegasnya.

Sehubungan itu, AMANAH Kuala Rajang mengambil inisiatif bagi menganjurkan seminar itu supaya penduduk dan masyarakat di Tanjung Manis bersama-sama dapat mencari kaedah dan tindakan dalam mensasarkan hasil produk mereka.

Bekas Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Haji Abdul Mutalip Abdullah, telah dijemput bagi menyampaikan ceramah dalam program berkenaan.

“Insya Allah, kita berharap agar penduduk di sini berupaya meningkatkan pendapatan mereka yang rata-ratanya tinggal di pesisir pedalaman Sarawak sekali gus mampu mengembangkan pendapatan masing-masing selepas ini,” tambah beliau lagi.