Malaysia Dateline

AMANAH ‘kuda tungangan DAP’ isu lama Umno dimainkan Pas, kata Mahfuz

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menjelaskan, isu AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kuda tunggangan DAP, sebenarnya sudah lama dimainkan oleh parti Umno.

Beliau berkata, isu berkenaan sudah bangkit 30 tahun lalu, iaitu ketika masyarakat Malaysia tiada kecerdikan mengenai dunia politik.

“Bezanya sekarang, Pas pula menggunakan isu itu selepas 30 tahun berlalu.. Umno menggunakan isu itu untuk serang Pas.

“Saya lihat apabila Pas berkawan dengan Umno, Pas belajar bagaimana untuk membuat satu politik yang menakutkan rakyat.

“Mereka menakutkan rakyat, terutamanya orang Melayu daripada Umno dengan melabelkan (mengaitkan) parti politik yang lain, khususnya AMANAH yang membawa imej Islam Rahmatan Lil Alamin dengan parti DAP.

“Pas pula menggunakan isu ini selepas berkawan dengan Umno dan mendapat ilmu baharu yang diturunkan kawan barunya (Umno). Mereka menggunakan isu ini (sekarang) ketika masyarakat Malaysia sudah celik politik,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Dalam perkembangan sama, Mahfuz berharap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang faham dan masih ingat tuduhan-tuduhan yang dilemparkan pemimpin Umno bahawa Pas adalah ‘barua’ DAP.

“Saya nak ucapkan tahniah kepada pemimpin Umno yang telah menjadikan Pas sebagai rakan mereka dalam politik Malaysia.

“Mereka telah berjaya memilih anak murid politik yang baru iaitu Pas, syabas dan tahniah kepada Tok Guru Presiden Pas yang menjadi anak murid cukup setia dan walak kepada pimpinan Umno pada hari ini,” katanya lagi.