AMANAH Kulim Bandar Baharu utamakan bantu mangsa banjir

AMANAH Kulim Bandar Baharu utamakan bantu mangsa banjir
Othman Don Ismail bersama petugas yang membantu mangsa banjir baru-baru ini.

Kebajikan dan keperluan masyarakat setempat menjadi keutamaan bagi AMANAH Kawasan Kulim-Bandar Baharu.

Ketuanya, Othman Don Ismail berkata, menjadi keutamaan kepada AMANAH Kawasan Kulim-Bandar Baharu turun padang menyalurkan bantuan samada dari segi keringat serta keperluan-keperluan lain sebaik sahaja musibah dilaporkan.

“Bagi AMANAH Kulim-Bandar Baharu, adalah menjadi keutamaan kita untuk membantu mangsa yang ditimpa musibah dengan kadar yang segera.

“Sebaik saja mendapat tahu mengenai bencana yang berlaku, agensi kerajaan yang terlibat akan dimaklumkan bagi mendapat kerjasama mereka.

“Selain itu petugas AMANAH Kawasan Kulim-Bandar Baharu turut sama dengan wakil rakyat berdekatan dengan menyalurkan bantuan, ” tegasnya lagi.

Othman Don Ismail (dua dari kiri) bersama petugas menguruskan makanan untuk mangsa banjir di Kg Terap dan Sg Ular, Kulim, baru-baru ini.

Malah katanya semasa banjir yang melanda Kampung Terap, Badlishah dan juga Sungei Ular, Kulim pada minggu lalu semua petugas segera turun padang.

“Kita membantu tanpa mengambil kira fahaman dan ideologi politik mana-mana pihak.

“Walaupun pada waktu tengah malam bantuan disalurkan dengan kerjasama semua pihak.

“Manakala makanan dan minuman juga disediakan secara gotong royong dengan seberapa segera yang dapat, ” ujarnya lagi.

Beliau juga berkata, seharusnya membantu masyarakat menjadi perkara utama yang mesti dilakukan jika dibandingkan dengan aktiviti politik yang lain.

Tambahnya lagi, bagi AMANAH kawasan Kulim-Bandar Baharu, masalah infrastruktur juga diberi perhatian serius termasuklah kemudahan asas yang perlu ditingkatkan dalam kawasan tersebut.