Amanah kutuk ekploitasi Zakir Naik untuk ketegangan kaum

Amanah kutuk ekploitasi Zakir Naik untuk ketegangan kaum

Parti Amanah Negara (Amanah) mengutuk usaha mengeksploitasi isu kehadiran Dr Zakir Naik bagi mengadu-domba antara penganut agama Islam dan bukan Islam.

Khalid SamadPengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad menegaskan, ini bercanggah dengan ajaran agama Islam yang menganjurkan kehidupan bersendikan amalan Li-Ta’arafu atau saling mengenali lantas saling hormat-menghormati.

“Amanah melihat dengan penuh kebimbangan bagaimana isu kehadiran Dr Zakir Naik di Malaysia telah dieksploitasi bertujuan untuk mewujudkan ketegangan agama antara orang Islam dan bukan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khalid, tumpuan perlu diberikan kepada menjawab tuduhan bahawa Zakir Naik menyokong pengganas dan ucapan-ucapannya dikatakan sebagai antara punca berlakunya beberapa peristiwa keganasan termasuk yang telah berlaku di Dhaka dan Mumbai.

“Amanah berpandangan bahawa tumpuan perlu diberikan kepada menjawab tuduhan tersebut dan bukan diselewengkan untuk menghasilkan pertembungan antara umat Islam dan bukan Islam.

“Tuduhan menyokong golongan dan kefahaman pengganas yang dibuat terhadap Zakir Naik adalah begitu berat. Ini bertambah rumit lagi kerana beliau merupakan ilmuan yang dihormati ramai dari kalangan umat Islam,” katanya yang juga ahli parlimen Shah Alam.

Beliau menegaskan, Amanah menolak keganasan dan memandang serius dakwaan yang dibuat kerajaan India terhadap Zakir dan menyeru kerajaan India untuk mengemukakan petikan ucapan atau jenis kegiatan Zakir Naik yang membuktikan beliau menyeru dan mendorong umat Islam ke arah keganasan seperti yang didakwa.

“Sekiranya tiada bukti dikemukakan, maka dakwaan bahawa Zakir Naik ingin ditahan dan diseksa atas sebab kelantangannya dan bukan atas sebab menyokong pengganas, adalah berasas.

“Amalan melabel seseorang sebagai pengganas tanpa bukti demi memudahkan penahanan beliau adalah satu amalan yang tidak menghormati hak asasi tertuduh,” tegasnya.

Beliau juga menambah, Amanah yakin niat Zakir Naik bukanlah untuk menimbulkan keresahan di kalangan mana-mana pihak atau kebencian terhadap dakwahnya.

“Sebaliknya, bagi yang biasa mengikuti program beliau, pendekatan penerangan perbandingan agama atau comparative religion yang merupakan kepakaran beliau, sememangnya dibentang secara amat kritis dan tajam,” katanya.

Justeru Amanah menyeru semua pihak untuk menangani persoalan ini dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan serta dengan cara yang jelas memperlihatkan keadilan supaya api perkauman dan ketegangan agama dapat dielakkan.

COMMENTS

Wordpress (0)