Amanah kutuk serangan ganas menjelang Syawal, ajak bersatu perangi perosak Islam

Amanah kutuk serangan ganas menjelang Syawal, ajak bersatu perangi perosak Islam

Parti Amanah Negara (Amanah) mengutuk keras serangan keganasan khususnya tindakan kejam dan tidak berhati perut di Masjid Nabawi dan Bandar Qatif serta Jeddah semalam dan sebelumnya di Turki dan Bangladesh serta di Puchong, Malaysia.

Empat dilaporkan maut dalam serangan bunuh diri di Madinah semalam.

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mendesak warga dunia mempertingkatkan peperangan ke atas pengganas dengan segala kemampuan yang ada.

Keganasan katanya, atas apa alasan pun adalah anti-kemanusiaan yang lazimnya memangsakan nyawa yang tidak berdosa.

“Seluruh warga dunia khususnya umat Islam mengutuk serangan di tempat suci kedua bagi umat Islam selepas Masjidil Haram di Mekah.

Menurut beliau Islam mengharamkan pertumpahan darah dan mewajibkan memelihara nyawa.

“Al-Quran menyifatkan membunuh satu nyawa adalah seolah membunuh manusia keseluruhannya dan begitulah sebaliknya memelihara satu nyawa manusia seolah telah menghidupkan keseluruhan kemanusiaan seperti disebuat dalam surah Al-Maidah, ayat 32.

Keganasan katanya tidak ada kena mengena dengan mana- mana agama kerana mereka tidak beragama, jauh sekali mewakili umat Islam.

“Membenteras keganasan bermula dengan membenteras kefahaman menganggap kelompoknya ‘suci’, fahaman rasis dan fahaman dogmatik agama yang sempit sehingga timbul kebencian antara agama dan kaum,” katanya.

Beliau seterusnya menyeru seluruh wanga dunia bersatu menentang ideologi keganasan dengan meyakini bahawa membudayakan kebebasan bertanggungjawab dan menghormati kemanusiaan adalah jalan ke hadapan untuk membenteras bibit-bibit keganasan selain punya pertahanan nasional tangkas yang memelihara keselamatan awam dan negara.

COMMENTS

Wordpress (0)