Malaysia Dateline

AMANAH kutuk serangan Israel di Masjid Al Aqsa menjelang Aidiladha

Serangan pihak berkuasa Israel pada hari Ahad ke atas umat Islam di dalam Masjidil Al Aqsa hanya sehari sebelum hari Wukuf bagi AMANAH ia adalah perbuatan yang amat terkutuk.

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan kejam dilakukan sebelum umat Islam sedunia menyambut Hari Raya Aidil Adha dan semasa rakyat Palestin sedang beribadat di Masjidil Al Aqsa, adalah provokasi tercela oleh pihak zionis Yahudi.

Tambah pula katanya, serangan tersebut yang menyasarkan ramai wanita sebelum mereka menunaikan solat waktu subuh adalah perbuatan yang tidak boleh di maafkan.

“Melakukan kekejaman dengan menembak menggunakan peluru getah serta kekerasan fisikal di dalam Masjid tersebut adalah contoh tindakan terkutuk pihak Zionis Yahudi keatas umat Islam yang sedang mendirikan ibadah,” katanya.

AMANAH menggesa kerajaan Malaysia melalui Menteri Luar dan juga Duta Khas Timur Tengah jangan berlengah- lengah lagi membuat bantahan rasmi kepada Israel dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Salahuddin turut mendesak tindakan segera kerajaan Malaysia dengan mengeluarkan kenyataan rasmi untuk mengutuk sekeras-kerasnya serangan ini.

“Kami dari AMANAH dan pihak Ngo-ngo Islam Malaysia telah mengeluarkan kenyataan pada hari yang sama peristiwa terkutuk ini berlaku bagi menunjukkan komitmen kami membela kesucian Masjidil Al Aqsa dan hak umat Islam Palestin,” katanya.

Menurut sumber Mydan Al Quds, Israel telah kembali memulakan serangan ke atas Masjid Al Aqsa sehari sebelum hari wukuf dengan melakukan tindakan menceroboh ke atas masjid itu.

Zionis dikatakan telah menceroboh masuk ke Masjid Al Aqsa melalui pintu Maghriba di sebelah barat daya masjid, di mana salah seorang pengawal keselamatan dilaporkan telah dipukul di kepala oleh zionis ketika cuba menghalau keluar daripada masjid.