AMANAH kutuk tindakan rejim zionis

AMANAH kutuk tindakan rejim zionis
Parti Amanah Negara (AMANAH) mengutuk sekeras kerasnya tragedi bersiri menimpa rakyat Palestin yang di lakukan oleh Israel dan Amerika serta mereka yang bersubahat.
Pengerusi Biro Antarabangsanya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mengutuk usaha yang kononnya mencari pedamaian di antara rakyat Palestin dan Israel, tetapi akhirnya rakyat Palestin makin ditindas dan dinafikan keadilan oleh kuasa besar.
“Ianya bukanlah berlaku secara kebetulan semasa Donald Trump yang juga pembela tegar Israel, menjadi Presiden Amerika Syarikat .
“Sungguh aneh dunia hari ini di mana negara tentera terkuat di Timur Tengah iaitu Israel, dibela tanpa had oleh kuasa tentera terbesar Dunia, Amerika Syarikat.
“Pembelaan ini berlaku dengan menafikan hak demi hak serta maruah rakyat kerdil dan lemah Palestin sementara dunia hanya membisu sambil berpeluk tubuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Malah, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, turut mengingatkan tindakan Amerika yang pernah mengiktiraf Baitul Maqadis sebagai ibu negara Israel walaupun PBB tidak mengiktiraf demikian.
Pada awal tahun 2019 pula, Amerika Syarikat mengiktiraf Pergunungan Golan yang ditawan Syria, sebagai sebahagian daripada Israel walaupun PBB menganggap kawasan tersebut ditakluk melalui perang.
Beberapa hari lepas pula, Amerika telah mengesahkan pendudukan tanah Palestin secara haram oleh rakyat Israel yang di kutuk dunia.
“Apa lagi yang tinggal pada rakyat Palestin yang belum di rampas hak, milik dan maruahnya oleh Israel dengan restu serta izin Amerika Syarikat?
“Di mana suara IOC dan juga Arab Saudi serta Mesir yang sedang begitu mesra dengan Israel? Saudara Islam yang berjiran pun telah mengkhianati rakyat Palestin,” soalnya.
Beliau dengan tegas berkata, pengkhianatan bukan saja dari Israel dan Amerika Syarikat tetapi negara Islam yang berpeluk tubuh dan membisu yang perlu bertanggungjawab ke atas rakyat yang terkorban.
Katanya lagi, Amerika sepatutnya tidak hanya mengistiharkan Baitul Maqadis sebagai ibu negara Israel, bahkan perlu membuat pengisytiharan secara terbuka bahawa Washington adalah ibu Negara Israel.