Malaysia Dateline

AMANAH Labuan tidak terbubar

Dr Mohd Hatta Md Ramli

Setiausaha Agung AMANAH Nasional, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli hari ini memaklumkan bahawa AMANAH Labuan tidak terbubar ekoran perletakan jawatan sebahagian pimpinan AMANAH di kawasan itu hari ini.

Jelasnya, buat masa ini, AMANAH Nasional akan mengambil alih pentadbiran AMANAH Kawasan Labuan sementara menunggu pimpinan baru dipilih di dalam Mesyuarat Khas Kawasan.

“AMANAH Wilayah Persekutuan bersama rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) sentiasa komited memperjuangkan kesejahteraan rakyat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, termasuk di Labuan.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada bekas ahli AMANAH Labuan di atas segala sumbangan mereka kepada parti dan mendoakan kejayaan mereka pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, seluruh jentera AMANAH Labuan mengumumkan peletakan jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Dilaporkan, kerenah birokrasi dan layanan tidak adil oleh pemimpin parti pusat sebagai alasan utama mereka mengambil keputusan itu.

Peletakan jawatan secara mengejut itu turut melibatkan sayap Wanita dan Pemuda serta 33 pemimpin cawangan bersama-sama ahli jawatankuasa mereka.