Malaysia Dateline

AMANAH lahir dari ijtihad politik demi Malaysia lebih sejahtera

Prinsip, kepelbagaian dan Malaysia adalah tiga kata yang telah menggabungkan rakyat Malaysia dari pelbagai jalur fikir, etnik dan latar kehidupan untuk menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) lima tahun yang lalu.

AMANAH lahir hasil dari ‘keganasan’ fikrah takfiri yang makin membiak dalam Pas, asal berbeza pandangan, pasti anda akan dilabel dengan kosa kata yang menggerunkan; munafik haraki, jebon bahkan musuh Islam!

Nikmat berada dalam AMANAH yang paling disyukuri oleh kebanyakan para ahlinya adalah ‘keharmonian’ dalam ‘kepelbagaian’.

Ya, mungkin masih ada bibit lama yang mencurigai rakan lintas fikir, namun sepanjang lima tahun usianya AMANAH tidak ‘peghak’ dengan kepelbagaian yang ada dalam kalangan para ahlinya.

Sebagai parti yang baru lahir, AMANAH amat mensyukuri apabila diberikan ‘peluang’ bersama bahtera rakyat bagi melakukan muqaddimah ‘reform’ institusi apabila berjaya bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk Malaysia Baharu.

Namun, usaha reformasi itu telah dikhianati oleh mereka yang berada dalam PH sendiri iaitu Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali.

‘Politik’ adalah antara bekal yang boleh mensejahterakan kita di akhirat kelak, dan juga menjadi ladang yang subur untuk berbakti sesama insan.

Kita telah memilih wadah AMANAH ini untuk menghimpun bekal dan sekali gus berbakti sesama insan kerana kita yakin bahawa AMANAH lahir hasil dari ijtihad politik yang bergerak dengan semangat Malaysia yang kita cintai.

Perjalanan ini masih jauh kerana pihak ‘lawan’ kita memainkan dua isu yang amat mudah terbakar; bangsa dan agama!

Apapun yang berlaku semuanya dikaitkan dengan sentimen bangsa dan agama, kita jangan terpengaruh bahkan kita perlu teguh beristiqamah untuk memperjuangkan kemanusiaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Prinsip kita adalah ‘kebenaran’, kita telah memilih AMANAH lima tahun yang lalu kerana ‘kebenaran’ dan kita akan terus bersama AMANAH selagi kebenaran menjadi paksi perjuangan AMANAH.

Dirgahayu AMANAH ! Selamat menyambut hari Malaysia dan ulang tahun kelima AMANAH!

 

*USTAZ RIDZWAN ABU BAKAR merupakan Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional dan Pengarah Pembangunan Sumber Manusia AMANAH Kedah.