Malaysia Dateline

AMANAH lancar Tabung Peduli Pendidikan Amanah Nasional 2021

Sebagai sebuah parti politik yang peduli kepada seluruh segmen masyarakat khususnya murid dan pendidik yang terkesan berhadapan dengan norma baharu, Biro Pendidikan & Dakwah AMANAH Nasional dengan kerjasama Pertubuhan Amanah Nadi Bangsa melancarkan kutipan sumbangan kewangan ke Tabung Peduli Pendidikan AMANAH Nasional 2021.

Menurut AJK Biro Pendidikan Dan Dakwah AMANAH Nasional pihaknya berbesar hati kepada mereka yang sudi menyumbang ke Tabung ini untuk Biro Pendidikan & Dakwah AMANAH Nasional salurkan kepada murid yang mempunyai kekangan kemudahan pendidikan.

Syazmir Hariz Noorazlan berkata, pendidikan merupakan elemen penting dalam pembangunan negara dan tamadun manusia.

Justeru katanya, pelaksanaan pendidikan mesti dilakukan lebih sistematik dan bekualiti akibat daripada penularan pandemik Covid-19, suasana pendidikan terpaksa diubahsuai sebagaimana sebelumnya.

“Metadologi pengajaran dan pembelajaran telah berubah dalam suasana norma baru.

“Melihat kepada keadaan ekonomi yang kian tenat dan kesempitan hidup yang ditanggung oleh masyarakat, apakah mungkin semua orang khususnya golongan masyarakat M40 dan B40 berkeupayaan mendepani norma baru dalam sistem Pendidikan kini.

“Apakah rakyat mampu menyediakan kemudahan yang lengkap untuk memastikan mereka tidak tercicir daripada arus perdana Pendidikan?.

“Apakah kita bersedia melihat golongan yang kurang berkeupayaan ini akan terus tertinggal?” kata beliau yang meminta orang ramai boleh melayari laman rasmi FB Biro Pendidikan & Dakwah AMANAH Nasional untuk makluman lanjut.