Malaysia Dateline

AMANAH lapor polis iklan raya ajak berjudi

AMANAH Wilayah Persekutuan hari ini bertindak membuat laporan polis berhubung penularan sebuah klip video raya mengajak umat Islam berjudi.

Naib Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi meminta pihak polis menjalankan siasatan segera dibawah peruntukan undang-undang khususnya di bawah 504 Kanun Keseksaan Seksyen 4 1 (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1993.

Bahkan yang juga seorang peguam percaya siasatan boleh dijalankan di bawah Akta Hasutan kerana mengajak orang berjudi bersama-sama di atas talian.

Selepas semalam dikejutkan dengan video atas nama BET333, katanya hari ini ada satu lagi video atas nama IBC003 dengan modus operandi yang sama.

“iiatu mengajak umat Islam dan rakyat untuk sama-sama menggunakan judi secara atas talian ini. Ini sangat mengecewakan dan memalukan.

“Umat Islam baru menyambut ibadah puasa, dihidangkan paparan video secara meluas tentang mengajak beraya sambil berjudi, ini sangat megecewakan,” kata beliau kepada media sebaik selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi.

Katanya, umum sedia maklum mengikut undang-undang  tidak ada mana-mana syarikat judi dibenarkan secara terbuka mempromosi perjudian mereka apatah lagi menggunakan pelakon daripada orang melayu Islam bertudung untuk mempromosikan judi dengan mengambil semangat Hari Raya Aidilfitri.

Beliau kesal kerana perkara ini berlaku dalam kerajaan PN yang di dalamnya ada sebuah parti Islam iaitu Pas.

Ahmad Zamri turut menyenaraikan nama penerbit, pengarah dan pelakon serta syarikat perjudian terbabit kepada pihak polis.

Sehingga hari ini, beliau mendapati Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak bertindak menyekat penularan kerana iklan IBC003 masih boleh diakses.

Turut bersama membuat laporan polis ialah Pengarah biro mobilisasi AMANAH Sany Hamzan serta beberapa AJK AMANAH Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, tular mengenai sebuah klip video berkisarkan mengenai sebuah syarikat perjudian online BET333 yang telah menggunakan unsur kegamaan iaitu Hari Raya Aidilfitri sebagai unsur muzik video bagi mempromosikan aktiviti perjudian online dalam video tersebut.

Sekaligus mengundang kemarahan umat Islam ketika mereka sedang berlumba-lumba membuat ibadah ketika bulan yang mulia ini, Ramadan.