Malaysia Dateline

AMANAH Lembah Pantai kecam program Najib di ‘masjid UM’ esok

AMANAH Lembah Pantai mengecam penganjuran program melibatkan bekas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak di Masjid Ar-Rahman yang dijadualkan berlangsung esok.

Ketuanya, Mohd Hishamuddin A Hamid menyifatkan program Sembang Santai Mahasiswa Universiti Malaya (UM) bersama #Bossku itu sebagai memperalat masjid dengan propaganda murahan.

“AMANAH Lembah Pantai mengecam tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan institusi mulia seperti masjid bagi meraih sokongan dan simpati kepada mereka.

“Program seperti yang disebarkan mungkin suatu propaganda murahan berikutan kekalahan golongan pro rejim lama dalam pilihan raya kampus UM baru-baru ini,” tegasnya kepada Malaysia Dateline.

Menurutnya, majoriti mahasiswa universiti awam di ibu negara tersebut telah memilih kumpulan Suara Siswa dan Malaysia Baru.

Sehubungan itu, Hishamuddin berkata, pihaknya menggesa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) mengambil tindakan bagi mempertahankan kesucian masjid daripada dicemari elemen tidak sihat tersebut.

“Kami berpendapat pihak JAWI semestinya perlu bertindak supaya institusi masjid tidak tercemar dari kepentingan pihak tertentu

“Kami menyerahkan perancangan mereka yang tidak bertanggungjawab ini kepada pihak yang berkuasa mengikut rule of law dan peraturan sedia ada,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Masjid Ar-Rahman yang terletak di Jalan Pantai Baharu di sebelah pintu gerbang utama UM dibina pada 1962 hasil permohonan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) kepada Jabatan Perdana Menteri.