Amanah mahu ‘godfather’ skandal hartanah Johor ditangkap

Amanah mahu ‘godfather’ skandal hartanah Johor ditangkap

Walaupun menghargai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menahan exco kerajaan negeri Johor dan beberapa individu berhubung rasuah hartanah bumiputera, Amanah mahu ‘bapak perasuah’ (god father) yang masih bebas turut diambil tindakan.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, adalah mustahil bagi seorang anggota exco negeri melakukan perbuatan rasuah tanpa restu dan keizinan orang atasannya yang cuba berselindung dan berlagak bersih.

“Amanah mengucapkan syabas dan tahniah kepada SPRM Johor kerana berjaya menahan seorang  exco kerajaan negeri Johor semalam kerana disyaki terlibat dalam isu rasuah hartanah (bumiputera).

“Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengarah SPRM Johor seharusnya diberikan penghargaan oleh rakyat kerana menunjukkan komitmen yang tinggi untuk mengheret petualang negara dan rakyat ini ke muka pengadilan.

“Namun begitu, rakyat khususnya di negeri Johor kini mempersoalkan bagaimana mungkin seorang exco kerajaan negeri yang disyaki berani melakukan rasuah hartanah tanpa restu dan keizinan daripada ‘bapak perasuah’ atau ‘godfather’ yang cuba berselidung dengan imej yang kononnya bersih,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau mahu menteri besar Johor Datuk Khalid Nordin bertanggungjawab penuh di atas skandal rasuah hartanah ini memandangkan beliau ialah Pengerusi  Portfolio Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan dan Perancangan Pambangunan negeri.

Menurutnya, rakyat negeri Johor akan berdiri teguh di atas ketegasan SPRM untuk terus memburu ‘bapak perasuah’ dan konco-konconya walaupun mereka mungkin ‘bergayut di pagar istana’ untuk mencari simpati.

“Rakyat juga akan menyanjung tinggi titah Tuanku Sultan Ibrahim Iskandar yang telah memberikan perkenan kepada SPRM membanteras gejala rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri Johor,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)