Amanah mahu Mat Sabu dibenar masuk Sarawak

Amanah mahu Mat Sabu dibenar masuk Sarawak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Parti Amanah Negara (Amanah) mahu presiden parti itu, Mohd Sabu dibenarkan masuk ke Sarawak bagi menjalankan tugasnya dalam proses demokrasi ketika menghadapi pilihanraya negeri itu yang dijadualkan bulan depan.

Anggota Majlis Pimpinan Nasional Amanah, Adly Zahari mahu persoalan mengapa Presiden Amanah dihalang ke Sarawak dijawab.

“Apakah kandungan ucapan, pengaruh beliau, atau tidur beliau di rumah panjang tidak disenangi pimpinan BN Sarawak walau puluhan tahun merdeka, mereka mungkin belum pernah melakukannya,” soal beliau dalam satu kenyataan kepada media semalam.

“Sepanjang berada di Sarawak bersama presiden sebelum beliau dilarang ke sana, sambutan rakyat di sana sangat mengujakan dan luar biasa. Ke mana sahaja beliau lawati pasti mendapat sambutan dari kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Selama empat hari berada di Sarawak itu kata belaiu, Mohd Sabu telah menginap di homestay dan rumah rakan. Jadual harian bermula seusai subuh dan berakhir selepas tengah malam.

Menurut beliau, Mohd Sabu boleh tidur tidak kira tempat sama ada di atas katil, di atas sofa, dalam kereta, atau di atas lantai termasuklah di lantai anjung Rumah Panjang. Senang punya sosok Presiden sebegini. Kalau presiden tidur di sofa, setiausaha politik beliau tidur di katil, kalau presiden tidur di katil, setiusaha politik beliau akan tidur dilantai. Ingat, tidur kita bukan kerana katil, tidur kita kerana mengantuk. Di parlimen pun ramai pemimpin tidur.

Beliau menceritakan sepanjang empat hari di Sarawak membolehkan Presiden Amanah bertemu rakyat di banyak Dewan Undangan Negeri. Sama ada yang bakal ditandingi Amanah maupun rakan Pakatan Harapan (PH). Pasar, restoran, rumah panjang, program di pedalaman atau di bandar beliau akan turun dalam usaha menyampaikan mesej perubahan. Beting Maro, Kabong, Sebuyau, Krian, Muara Tuang dan beberapa DUN lagi telah beliau lawati. Pejabat Wakil Rakyat PKR Ali Biju di Krian, mengikuti beliau melawat sambil mendengar penerangan dan gerak kerja terkini dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

“Menghalang Presiden Amanah ke Sarawak merupakan satu lagi titik hitam dalam sejarah politik Malaysia. Apakah pimpinan BN Sarawak mahu diingat sebagai pemimpin yang “mengikat mulut dan kaki” lawan politiknya dalam konteks demokrasi. Sejarah akan ditulis sedemikian rupa, maka masih ada ruang dan masa bagi Tan Sri Adenan Satim merubah nukilan sejarah tersebut,” katanya.

Pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak dijadualkan 7 Mei depan manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 25 April ini.

TAGS