Malaysia Dateline

AMANAH mahu menang kerusi sulung di Sabah

AMANAH berhasrat untuk memenangi kerusi sulung di Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, AMANAH mahu mencipta kejayaan itu memandangkan Pas tidak pernah memenangi sebarang kerusi sejak menyertai PRN Sabah.

“Memang AMANAH berhasrat untuk terlibat dalam PRN Sabah. Kami semenangnya hendak bertanding.

“AMANAH mahu capai apa yang Pas tak pernah capai, iaitu memenangi kerusi sulung di Sabah,” dipetik Malaysiakini hari ini.

Untuk rekod, Pas Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu bertanding di 26 kerusi dengan lapan kerusi Parlimen dan 18 DUN dengan pertama kali meletakkan seorang calon bukan Islam di DUN Kadamaian di Parlimen Kota Belud.

Dalam masa sama, Khalid berkata, kepimpinan parti sedang meneliti cadangan untuk menggunakan logo Warisan sebagai lambang tunggal Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Sabah.

Menurutnya, hal tersebut akan diputuskan selepas berbincang dengan rakan sekutu mereka di negeri itu.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu juga memberitahu sambutan masyarakat di Sabah terhadap AMANAH semakin menggalakkan.

“Cuma kita berharap agar AMNH dibenarkan terlibat dalam PRN. Sambutan terhadap AMANAH di Sabah juga meingkat,” jelas Khalid lagi.

PRN Sabah bakal berlangsung dalam tempoh 60 hari selepas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN, 30 Julai lalu bagi menggagalkan cubaan rampasan kuasa.

Sehubungan itu, PRN perlu diadakan sebelum 29 September depan.

Pada PRU-14, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan tetapi Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah menjadikan jumlah keseluruhan 73 kerusi.

Keputusan PRU-14 pada 2018 menyaksikan hanya 1 peratus pengundi Sabah memilih Pas berbanding 32% kekal mengundi BN.

Sebanyak 67% pengundi beralih arah kepada parti Warisan sekali gus membolosi kubu kuat BN di negeri itu.