Malaysia Dateline

AMANAH mampu pertahan kerusi dimenangi, opsyen pertama masih Anwar sebagai PM

AMANAH yakin mampu mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu jika Putrajaya memilih untuk mengadakan PRU mengejut dalam waktu terdekat, kata Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abd Samad.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, biarpun kemenangan kerusi AMANAH lalu disebabkan pertandingan tiga penjuru membabitkan Umno dan Pas, namun gabungan kedua-dua parti itu yang membentuk Muafakat Nasional ketika ini belum tentu mampu menarik sokongan pengundi mereka.

Jelasnya, pengundi Pas tidak akan memberi sokongan kepada calon Umno dan sebaliknya juga buat pengundi Umno yang menolak Pas setelah sekian lama kedua-duanya bersengketa biarpun bertanding di atas tiket satu gabungan yang sama.

“Suasana sudah berubah. Walaupun di peringkat pemimpin PN (Perikatan Nasional) dikatakan sudah merangka jawatankuasa untuk mengelakkan pertembungan kerusi, namun ia adalah perkara berbeza bagi rakyat.

“Dahulu Pas ditanam dengan penolakan terhadap Umno, jadi mereka mungkin tidak tergamak nak undi calon dari parti itu.

“Begitu juga penyokong Umno yang dulu ditanam kebencian terhadap Pas kerana Pas ini dikatakan parti ajaran sesat.

“Mungkin mereka tak akan undi calon yang datang dari Pas walaupun dia berdiri atas tiket Perikatan Nasional,” katanya dalam satu temubual di Insight Talk yang membincangkan masa hadapan Pakatan Harapan (PH) Plus dan AMANAH.

Untuk rekod, AMANAH memenangi 11 kerusi Parlimen dalam PRU-14 dengan rekod Ahli Parlimennya sehingga hari ini kekal bersama parti dan PH.

Selangor dilihat menjadi kubu kuat AMANAH apabila memenangi kesemua lima kerusi Parlimen ditandingi serta menguasai lapan daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi di negeri itu.

Sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai ini dikatakan bakal menjadi penentu kepada pentadbiran PN yang mungkin boleh menjadi kerajaan terpendek dalam sejarah jika dibuktikan mereka tidak memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen.

Dijadualkan, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang Parlimen kali ini.

Dalam masa sama, parti-parti politik dilihat mula bersiap sedia menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing sebagai persediaan kemungkinan pembubaran Dewan Rakyat sekiranya terbukti Muhyiddin tidak mempunyai sokongan dalam Dewan.

Berpecah dua

Mengulas lanjut, Khalid yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, Umno dan Pas dijangka akan bertanding menggunakan logo parti masing-masing kerana PN masih entiti politik yang tidak berdaftar.

Sehubungan itu, beliau berpendapat sokongan pengundi kepada PN akibatnya berpecah dua.

Ditanya tentang perselisihan pencalonan Perdana Menteri bagi PH Plus, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menegaskan AMANAH sama sekali tidak pernah membuat keputusan secara bersendirian.

Malah katanya, pendirian AMANAH dan Pakatan Harapan masih lagi meletakkan opsyen pertama sebagai pilihan iaitu mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bagi gabungan itu.

Jelasnya, segala keputusan adalah berpandukan mesyuarat Majlis Presiden PH dan tidak timbul isu parti menyatakan pendirian tanpa perbincangan bersama rakan-rakan PH.